Sabtu, 15 Januari 2022 | 10:54am
Davi Seremramiwe Xavante, kanak-kanak lelaki orang asli berumur lapan tahun, adalah anak pertama yang diberi vaksin semasa upacara rasmi di hospital Sao Paulo. - Foto AFP
Davi Seremramiwe Xavante, kanak-kanak lelaki orang asli berumur lapan tahun, adalah anak pertama yang diberi vaksin semasa upacara rasmi di hospital Sao Paulo. - Foto AFP

Brazil mula vaksinasi kanak-kanak kecil

SAO PAULO: Brazil mula memberi vaksin kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun untuk COVID-19 semalam, selepas langkah itu diluluskan, walaupun ada bantahan daripada Presiden Jair Bolsonaro.

Davi Seremramiwe Xavante, seorang kanak-kanak lelaki orang asli berumur lapan tahun, adalah anak pertama yang diberi vaksin semasa upacara rasmi di hospital Sao Paulo, dengan gabenor negeri, Joao Doria, hadir.

Dos vaksin COVID-19 pertama yang diberikan di Brazil juga di Sao Paulo, pada Januari 2021.

Kumpulan umur baharu itu telah diluluskan untuk vaksinasi oleh pihak berkuasa kesihatan Anvisa sebulan lalu.

Lebih 20 juta kanak-kanak layak mendapat vaksin Pfizer/BioNTech, selagi mereka mendapat kebenaran ibu bapa.

Orang asli dan kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan adalah kumpulan keutamaan untuk vaksinasi.

Bolsonaro berulang kali mengkritik tindakan itu dan menegaskan beliau tidak akan sekali-kali memberi vaksin kepada anak perempuannya yang berusia 11 tahun, Laura.

Beliau sendiri yang tidak divaksinasi, mencetuskan kekecohan apabila meminta nama mereka yang bertanggungjawab meluluskan langkah itu didedahkan kepada umum.

Sebuah persatuan yang mewakili pegawai Anvisa mengecam 'kaedah fasis' Bolsonaro, dan presiden pihak berkuasa itu menuntut perlindungan polis terhadap kakitangan berikutan ancaman.

Menurut angka rasmi kementerian kesihatan, lebih 300 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun meninggal dunia akibat COVID-19 di Brazil, antara 620,000 kematian akibat penyakit itu di negara 213 juta penduduk itu.

Bilangan kes baharu meledak sejak kemunculan varian Omicron pada akhir November.

Kes baharu harian Khamis lalu hanya di bawah 100,000, kurang daripada 6,000 dua minggu lalu.

Semalam, Brazil melaporkan 112,286 kes baharu dalam tempoh 24 jam, satu angka yang hampir dengan rekod 115,228 kes harian yang dicatatkan pada 23 Jun, ketika negara itu berada di tengah-tengah gelombang ketiga wabak itu. - AFP

Berita Harian X