Isnin, 10 Januari 2022 | 7:57am
Kes COVID-19 melonjak sejak sebulan lalu di AS, dengan purata kira-kira 650,000 kes baru dikesan sehari. - Foto AGENSI
Kes COVID-19 melonjak sejak sebulan lalu di AS, dengan purata kira-kira 650,000 kes baru dikesan sehari. - Foto AGENSI

Beberapa wilayah AS laksana vaksinasi COVID-19 besar-besaran

NEW YORK: Pusat vaksinasi besar-besaran bakal kembali selepas beberapa wilayah di Amerika Syarikat (AS) sudah memulakan atau membuka klinik sementaranya di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19.

Didorong oleh varian Omicron yang cepat merebak, kes COVID-19 melonjak sejak sebulan lalu di AS, dengan purata kira-kira 650,000 kes baru dikesan sehari, menurut pangkalan data New York Times, jauh lebih tinggi berbanding kes puncak sebelum ini.

Biarpun Omicron memberi kesan gejala lebih ringan, banyak sistem penjagaan kesihatan tempatan mula bimbang dengan kes yang meningkat.

Kira-kira 63 peratus populasi sudah divaksin sepenuhnya, menurut data persekutuan.

Kebimbangan terhadap varian mendorong orang ramai yang sudah divaksin mencari suntikan penggalak, namun nampaknya tidak mendorong sebilangan besar mereka yang masih enggan divaksinasi.

Pengarah Perubatan di Brigham and Women's Hospital, Dr Eric Goralnick berkata, pembukaan pusat vaksinasi yang besar membantu meringankan beban farmasi dan klinik, selepas berlaku lonjakan kemasukan pesakit dengan kekurangan kakitangan yang disebabkan oleh jangkitan COVID-19.

"Ia seharusnya bertumpu kepada komuniti demi komuniti, negeri demi negeri, memikirkan di mana permintaan itu dan memadankan jurang dalam penghantarannya.

"Sebagai contoh, semua hospital kami di Massachusetts mengalami lebihan kapasiti setiap hari dan banyak tempat sesak. Maka, agak mencabar bagi sistem penjagaan kesihatan untuk bukan saja menjaga pesakit tetapi membina kapasiti untuk menyediakan vaksin kepada masyarakat," katanya.

Massachusetts baru-baru ini mengumumkan akan membuka beberapa pusat vaksinasi berskala besar, termasuk membuka semula Fenway Park, tuan rumah kepada pasukan besbol, Boston Red Sox.

Wilayah Illinois pula merancang memulakan empat klinik vaksinasi besar-besaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi suntikan penggalak, menurut gabenornya, JB Pritzker pada Jumaat lalu.

Pegawai kesihatan dan penyelidik kesihatan awam di Oregon, Dr Dean Sidelinger, menjangkakan 10 klinik vaksinasi besar-besaran akan dibuka tidak lama lagi, dengan yang terbesar menyediakan sehingga 3,000 suntikan sehari.

Pakar vaksin di Kolej Perubatan Baylor, Dr Peter Hotez, berkata lonjakan dalam suntikan penggalak mencerminkan realiti ramai orang yang sudah menerima dua dos vaksin masih dijangkiti.

"Satu peralihan yang dilihat sekarang ialah semua orang akhirnya memahami bahawa vaksinasi lengkap yang sebenar adalah tiga dos," katanya. - AGENSI

Berita Harian X