Jumaat, 7 Januari 2022 | 9:47am
Pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci.
Pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci.

Jangan pandang remeh ancaman Omicron - Fauci

OHIO: Pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci, memberi amaran supaya jangan meremehkan ancaman COVID-19 varian Omicron.

Tegas beliau, jumlah kes yang banyak boleh membebankan hospital walaupun varian itu bergejala kurang serius.

Kepantasan penularan Omicron yang mendadak menjejas kehidupan di seluruh negara itu, menangguhkan permulaan semula sekolah selepas cuti, membatalkan perjalanan udara, menutup tempat hiburan dan menjejaskan rancangan kembali bekerja di pejabat.

Purata jumlah kes COVID-19 baru selama tujuh hari di AS mencecah 540,000 kes pada Selasa lalu, tahap tertinggi baru buat hari kelapan berturut-turut.

Kadar kemasukan pesakit COVID-19 di hospital meningkat 45 peratus dalam tujuh hari lalu, berjumlah lebih 111,000, angka yang tidak dilihat sejak Januari 2021.

"Omicron masih boleh memberi tekanan terhadap sistem hospital kerana jumlah kes yang besar, tidak kira apa gejalanya dan akan menjadi teruk," kata Dr Fauci dalam satu taklimat di Rumah Putih.

Di Ohio, wilayah dengan kadar per kapita kedua tertinggi kemasukan ke hospital akibat COVID-19 selepas Delaware, kakitangan hospital menyatakan mereka sedang bergelut untuk menangani kemasukan pesakit.

Sesetengah pesakit sudah berada di unit jagaan rapi (ICU) di Hospital Western Reserve di Cuyahoga Falls, Ohio, selama enam minggu, dengan kebanyakannya menghidap varian Delta, kata kakitangan hospital.

Pesakit semuda 30 tahun terpaksa menggunakan ventilator dan purata tiga pesakit meninggal dunia dalam sehari, beberapa kali sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kata Dr Susan Straus, pengarah penjagaan kritikal hospital itu.

Dr William Paster berkata kira-kira 80 peratus pesakit COVID-19 di hospital itu tidak diberi vaksin dan hampir semua pesakit yang memerlukan penjagaan ICU tidak divaksinasi.

Dalam kalangan yang diberi vaksin, kebanyakannya pulih daripada virus, termasuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan asas, kata Dr Paster.

"Kami tidak pernah melihat angka seperti yang kami lihat sekarang dan ia benar-benar memberi tekanan," kata Justine Neuwirth, ahli terapi pernafasan di hospital itu.

Wilayah lain juga merasakan tekanan akibat kenaikan kemasukan ke hospital.

Maryland diletakkan dalam keadaan kecemasan selama 30 hari disebabkan kadar kemasukan hospital mencapai tahap pandemik baru yang tinggi Selasa lalu.

Delaware, Illinois, Ohio, Vermont dan Washington DC telah melaporkan jumlah rekod pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital dalam beberapa hari lalu.

Setakat ini, angka kematian pada peringkat nasional kekal stabil pada kira-kira 1,300 maut secara purata setiap hari, menurut kiraan Reuters.

Penularan pantas Omicron memaksa syarikat dan sekolah untuk menimbangkan semula rancangan kembali ke pejabat atau kelas.

Namun, banyak sekolah awam daerah di seluruh negara memilih untuk dibuka semula minggu ini selepas cuti.

Bagaimanapun, bandar Milwaukee, Atlanta dan Detroit masih mempertimbangkan sama ada melaksanakan pembelajaran dalam talian atau menangguhkan pembukaan sekolah kerana kekurangan kakitangan dan kebimbangan penularan Omicron. - REUTERS

Berita Harian X