Isnin, 3 Januari 2022 | 8:31pm
Pengasas syarikat angkasa lepas SpaceX merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk, mendahului rekod kekayaan terkumpul pada 2021. - Foto AGENSI
Pengasas syarikat angkasa lepas SpaceX merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk, mendahului rekod kekayaan terkumpul pada 2021. - Foto AGENSI

10 bilionair dunia kumpul kekayaan RM1.6 trilion pada 2021

NEW YORK: Ketika 2021 melabuhkan tirai dengan pelbagai isu kesihatan, kemiskinan dan kesengsaraan akibat bencana serta ancaman COVID-19, harta golongan terkaya dunia terus bertambah.

Bilionair di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah masih mampu tersenyum bangga apabila aset mereka makin bertambah.

Senarai 10 individu paling kaya di dunia merekodkan pertambahan kekayaan tahun lalu, dengan jumlah keseluruhan sekitar AS$402 bilion (RM1.6 trilion).

Berdasarkan Indeks Bilionair Bloomberg, Pengasas syarikat angkasa lepas SpaceX, Elon Musk, merekodkan kekayaan terkumpul dengan nilai pendapatan bersih AS$277 bilion (RM1.10 trilion).

Beliau, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, dianggarkan perlu membayar cukai lebih AS$11 bilion (RM44 bilion).

Musk, yang memiliki syarikat itu sejak 2002, sudah melancarkan lebih 1,600 satelit termasuk yang terbaru pada 18 Disember lalu.

Walaupun pendapatan Musk sebanyak AS$121 bilion (RM484 bilion) lebih kecil berbanding AS$140 bilion (RM560 bilion) pada 2020, jumlah itu mencukupi untuk menjadikan beliau individu paling kaya di dunia.

Pesaing terdekat Musk, Jeff Bezos, memasuki tahun baharu 2022 dengan aset terkumpul bernilai AS$190 bilion (RM760 bilion).

Hartawan berusia 57 tahun itu meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Amazon Julai lalu.

Sekarang, beliau menghabiskan masa terluang dengan teman wanitanya, Lauren Sanchez.

Tokoh barangan mewah Perancis, Bernard Arnault, menjadi satu-satunya jutawan dari luar AS yang berjaya memasuki senarai 10 teratas Bloomberg 2021 dari segi jumlah kekayaan.

Arnault adalah Ketua Pegawai Eksekutif konglomerat LVMH yang memiliki jenama mewah seperti Louis Vuitton, Christian Dior dan Givenchy.

Nilai kekayaannya melonjak kepada AS$176 bilion (RM704 bilion) selepas meraih keuntungan AS$61 bilion (RM244 bilion).

Hartawan berusia 72 tahun itu turut memegang gelaran individu paling kaya di Eropah.

Pengasas Microsoft, Bill Gates pula meraikan tahun baharu dengan aset terkumpul AS$139 bilion (RM556 bilion).

Pengasas bersama Google, Larry Page, memiliki harta AS$130 bilion (RM520 bilion) tahun ini manakala, rakan sejawatnya, Sergey Brin, menikmati kekayaan terkumpul AS$125 bilion (RM500 bilion) dengan hasil keuntungan 2021 sebanyak AS$45 bilion (RM180 bilion).

Pendapatan Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg pula bertambah sebanyak AS$25 bilion (RM100 bilion), sekali gus menjadikan jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak AS$128 bilion (RM512 bilion).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft dan pemilik Los Angeles Clippers NBA, Steve Ballmer, memiliki aset AS$122 bilion (RM488 bilion) selepas menjana keuntungan AS$41 bilion (RM164 bilion) pada 2021.

Pengerusi dan Pengasas Oracle, Larry Ellison, mengumpul kekayaan berjumlah AS$109 bilion (RM436 bilion).

Sementara itu, niat Ketua Pegawai Eksekutif Berkshire Hathaway, Warren Buffett, untuk menyumbangkan sebahagian besar kekayaannya tidak tercapai selepas prestasi saham syarikatnya tidak membantu menzahirkan hasrat murni itu.

Hartawan berusia 91 tahun itu bagaimanapun berjaya meraih AS$21 bilion (RM84 bilion), sekali gus menambah jumlah pendapatannya kepada AS$109 bilion. - AGENSI

Berita Harian X