Khamis, 23 Disember 2021 | 7:15am
- FOTO AFP
- FOTO AFP

PBB terima resolusi salur bantuan ke Afghanistan

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) semalam sebulat suara menerima pakai resolusi dicadangkan AS untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan yang terdesak, sambil berusaha mengelakkan dana bantuan jatuh ke tangan Taliban.

Ia menjadi resolusi pertama PBB bagi mengelak malapetaka kemanusiaan di tengah-tengah kegawatan ekonomi di Afghanistan.

"Kami menghargainya (kerana) ia boleh membantu keadaan ekonomi Afghanistan," kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid.

Di sebalik resolusi itu, Zabihullah berkata, Taliban turut berharap masyarakat antarabangsa menamatkan segera sekatan ekonomi dan perbankan dikenakan terhadap entiti mempunyai kaitan dengan kumpulan itu.

Berdasarkan resolusi itu, Majlis Keselamatan membenarkan bantuan disalurkan ke negara itu selama setahun tanpa melanggar sekatan antarabangsa.

Resolusi PBB itu juga menetapkan pekerja bantuan tidak sepatutnya melanggar sekatan, pemantauan destinasi bantuan diberikan dan setiap bantuan disalurkan perlu dilaporkan kepada PBB setiap enam bulan.

Seorang diplomat bagaimanapun mendedahkan yang syarat itu boleh dibatalkan jika terdapat bukti berlaku penyalahgunaan.

Sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos lalu, berbilion dolar bantuan dan aset dibekukan Barat dalam apa yang PBB gambarkan sebagai 'kejutan fiskal' tidak pernah berlaku sebelum ini kepada ekonomi Afghanistan.

Amerika Syarikat (AS) membekukan hampir AS$9.5 bilion daripada bank pusat Afghanistan dan Bank Dunia juga menggantung bantuan kepada Kabul.

Mata wang negara itu turut jatuh dan tanpa dana membayar gaji kakitangan awam, penduduk terpaksa menjual harta benda mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Susulan negara itu turut dilanda kemarau dan pandemik COVID-19, PBB pada awal bulan ini memberi amaran kejutan fiskal boleh menyebabkan ekonomi Afghanistan menguncup 20 peratus dalam tempoh setahun.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken berkata, Sekatan PBB adalah strategi penting untuk bertindak balas terhadap ancaman dan pencabulan hak asasi manusia.

"Namun, kita perlu memastikan sekatan ini tidak menghalang penyampaian bantuan yang diperlukan seger," katanya.

Setiausaha Rendah PBB bagi hal ehwal kemanusiaan, Martin Griffiths mengalu-alukan resolusi itu, dengan mengatakan ia akan membenarkan lebih 160 organisasi kemanusiaan menyediakan bantuan makanan dan kesihatan di Afghanistan. - AFP

Berita Harian X