Isnin, 20 Disember 2021 | 10:00am
Fauci - FOTO AFP
Fauci - FOTO AFP

Fauci beri amaran Omicron semakin mengganas

WASHINGTON: Penasihat utama pandemik Amerika Syarikat (AS), Anthony Fauci memberi amaran varian Omicron berisiko mencetuskan gelombang baharu jangkitan COVID-19 di seluruh dunia.

Katanya, 'amukan' Omicron juga dijangka mencetuskan sekatan baharu dan kebimbangan terhadap kemampuan kapasiti hospital, sekali gus menjadikan musim sejuk kali ini lebih 'suram'.

"Satu perkara sangat jelas ialah keupayaan luar biasa (Omicron) untuk tersebar. Ia mengamuk di seluruh dunia," katanya kepada NBC News.

Sejak pertama kali dikesan di Afrika Selatan pada November lalu, Omicron merebak di berpuluh-puluh negara, mendorong banyak negara mengenakan semula sekatan perjalanan dan langkah pencegahan lain.

Walaupun terdapat tanda ia kurang bahaya daripada varian Delta, Omicron dikatakan sangat cepat bermutasi, mempunyai ketahanan terhadap vaksin dan merebak lebih cepat.

Fauci juga memberi amaran walaupun nisbah kemasukan pesakit ke hospital akibat jangkitan Omicron lebih rendah daripada Delta, ini mungkin disebabkan oleh imuniti dimiliki pesakit terhadap jangkitan sebelum ini.

"Apabila anda mempunyai begitu banyak jangkitan, walaupun ia kurang teruk. Dalam satu atau dua minggu akan datang, hospital akan menjadi sangat tertekan terutama di negara dengan tahap vaksinasi rendah," katanya.

Semalam, Senator Elizabeth Warren dan Cory Booker masing-masing mengesahkan di Twitter mereka positif COVID-19 walaupun menerima vaksin dan penggalak. Kedua-duanya tidak menunjukkan sama ada dijangkiti Omicron atau sebaliknya.

Justeru, Fauci menggesa rakyat AS yang belum divaksin untuk mendapatkan suntikan dan dos penggalak bagi 'perlindungan diri'.

Katanya, walaupun lebih 70 peratus penduduk AS mendapat sekurang-kurangnya satu suntikan, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit mengesahkan 50 juta lagi yang layak masih belum divaksin.

"Penularan Omicron dibimbangi akan menyebabkan beberapa minggu hingga beberapa bulan akan datang sebagai tempoh sukar terutama apabila kita semakin hampir mengalami musim sejuk," katanya.

Omicron kini menyumbang kira-kira tiga peratus kes di AS, angka yang dijangka meningkat dengan cepat seperti yang dilihat di negara lain. - AFP

Berita Harian X