Rabu, 8 Disember 2021 | 10:01am
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro menegaskan syarat vaksin COVID-19 kepada pengembara umpama ‘tali’ yang diikat pada haiwan. - Foto EPA
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro menegaskan syarat vaksin COVID-19 kepada pengembara umpama ‘tali’ yang diikat pada haiwan. - Foto EPA

Brazil tolak syarat vaksinasi COVID-19 kepada pengembara

BRASILIA: Brazil tidak akan mengenakan syarat sijil vaksinasi COVID-19 kepada pengembara yang tiba ke negara itu, meskipun ia disaran oleh badan pengawal selia kesihatan negara berkenaan.

Langkah itu diumumkan selepas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro membandingkan syarat itu dengan 'tali' yang diikat pada haiwan.

Menteri Kesihatan Brazil, Marcelo Queiroga, berkata orang ramai tidak boleh didiskriminasi antara penerima vaksin dan individu tidak divaksin dalam melaksanakan sekatan.

Bagaimanapun Queiroga memaklumkan Brazil akan menetapkan syarat kuarantin lima hari kepada pengembara yang tidak divaksin seperti disaran badan kesihatan Anvisa, berikutan perincian varian Omicron masih tidak diketahui.

Selepas tempoh kuarantin serta keputusan ujian PCR negatif, katanya, pengembara yang datang ke negara itu sebagai pelancong boleh menikmati keindahan Brazil.

Setakat ini, satu-satunya syarat yang dikenakan kepada pengembara adalah menunjukkan hasil ujian PCR negatif.

"Kadang-kala adalah lebih baik jika kita hilang nyawa berbanding hilang kebebasan," katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat di pejabat presiden.

Sebelum ini, Bolsonaro yang masih belum menerima suntikan vaksin, dilaporkan menolak saranan Anvisa untuk mengeluarkan pasport kesihatan.

"Kami tanya, kenapa perlu pasport kesihatan? Apa rantai yang mahu dikenakan pada rakyat Brazil? Mana kebebasan kita? Saya lebih rela mati daripada hilang kebebasan," kata Presiden Brazil itu.

Brazil sudah merekodkan lebih 615,000 kematian akibat COVID-19 sejak bermulanya pandemik, kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat (AS). - AFP

Berita Harian X