Khamis, 2 Disember 2021 | 8:27am
 Foto hiasan (AGENSI)
Foto hiasan (AGENSI)

AS pencemar sisa plastik terbesar dunia - Laporan

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menjadi penyumbang terbesar sisa plastik global di dunia, menurut laporan dikemukakan kepada kerajaan persekutuan sekali gus menggesa strategi di peringkat nasional dilakukan bagi menangani krisis yang semakin memuncak itu.

Mengikut analisis, secara keseluruhan, AS menyumbang sekitar 42 juta tan (MMT) sisa plastik pada 2016 iaitu lebih dua kali ganda berbanding China dan gabungan negara Kesatuan Eropah (EU).

Secara purata, seorang penduduk AS menjana kira-kira 130 kilogram (kg) sisa plastik setahun, disusuli Korea Selatan dengan 88 kg setahun.

Laporan bertajuk 'Reckoning with the U.S. Role in Global Ocean Plastic Waste' yang diberi mandat oleh Kongres adalah sebahagian daripada Akta Selamatkan Lautan Kita 2.0 yang dijadikan undang-undang pada Disember 2020.

"Kejayaan mencipta plastik pada abad ke-20 juga telah menghasilkan kebanjiran sisa plastik bagi skala global yang kelihatan di mana-mana sahaja," kata pengerusi jawatankuasa pakar yang menyusun laporan itu, Margaret Spring.

Laporan itu turut memberitahu, pengeluaran plastik global meningkat daripada 20 MMT pada 1966 kepada 381 MMT pada 2015. Ia adalah peningkatan 20 kali ganda dalam tempoh setengah abad.

Tambahnya, perhatian kepada sisa lautan sebelum ini tertumpu hanya kepada sumber berasaskan kapal dan marin, tetapi pada masa ini, hampir mana-mana plastik di darat berpotensi untuk sampai ke lautan melalui sungai.

Laporan itu turut mendedahkan, dianggarkan 8 MMT sisa plastik memasuki dunia setiap tahun dan ia bersamaan dengan membuang sisa plastik menggunakan lori sampah ke lautan setiap minit.

Jelas laporan itu, pada kadar semasa, jumlah plastik yang dilepaskan ke lautan boleh mencecah sehingga 53 MMT setahun menjelang 2030, kira-kira separuh daripada jumlah berat ikan yang ditangkap dari lautan setiap tahun.

Laporan itu menawarkan beberapa langkah untuk menangani krisis berkenaan terutama melalui pengurangan pengeluaran plastik.

Tindakan lain yang dicadangkan termasuk menggunakan bahan yang terurai dengan lebih cepat dan mudah dikitar semula. - AFP

Berita Harian X