Rabu, 15 September 2021 | 9:19am
Andrew ‘Mush’ Russo. - Foto AGENSI
Andrew ‘Mush’ Russo. - Foto AGENSI

Ketua organisasi jenayah New York ditangkap

NEW YORK: Ketua organisasi jenayah terkenal dari satu daripada keluarga mafia Itali di New York serta beberapa anggota ditangkap semalam dan didakwa dalam kes pemerasan besar-besaran oleh pendakwa raya.

Pendakwaan dilakukan di mahkamah persekutuan Daerah Timur New York di Brooklyn terhadap 10 anggota keluarga Colombo atas tuduhan pelbagai jenayah termasuk pemerasan dan pengubahan wang haram.

"Kegiatan keluarga jenayah di New York City masih berleluasa," kata pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Michael Driscoll dalam satu kenyataan.

Andrew 'Mush' Russo, ketua keluarga Colombo berusia 87 tahun, individu nombor dua Benjamin Castellazzo, 83, dan penasihat keluarga itu, Ralph DiMatteo adalah antara 14 orang yang didakwa, kata pendakwa raya.

Russo dan Castellazzo ditangkap semalam dan dijadualkan didakwa melalui prosiding secara maya di Mahkamah Brooklyn.

Sementara itu, pendakwa raya berkata, DiMatteo masih bebas.

Mereka dituduh melakukan usaha menyusup dan mengambil alih kesatuan pekerja, termasuk mendapatkan dana faedah perubatan.

Keluarga Colombo adalah satu daripada lima organisasi jenayah Itali-Amerika utama di timur laut Amerika Syarikat (AS).

Yang lain adalah keluarga Genov, Lucchese, Gambino dan Bonanno.

Seluruh keluarga Colombo, termasuk Russo dan Castellazzo, mengaku bersalah atas pelbagai kegiatan jenayah pada 2012.

Russo, yang disabitkan dengan tujuh kali kesalahan, kali terakhir dibebaskan dari penjara pada 2013.

Mafia New York dilemahkan dengan beberapa serangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk penangkapan dan persaingan daripada organisasi jenayah lain, tetapi mereka masih dianggap aktif.

Ketua daripada klan Gambino, 'Frank' Cali, ditembak dan dibunuh di luar rumahnya di Staten Island, wilayah New York pada Mac 2019. - AFP

Berita Harian X