Ahad, 25 April 2021 | 10:48am
 Foto fail menunjukkan Maria Ferreira, 74, divaksin petugas kesihatan dengan vaksin Oxford-AstraZeneca di Brazil. - Foto AFP
Foto fail menunjukkan Maria Ferreira, 74, divaksin petugas kesihatan dengan vaksin Oxford-AstraZeneca di Brazil. - Foto AFP

COVID-19: Brazil catat kematian tertinggi bulan ini

SAO PAULO: Brazil mencatatkan rekod membimbangkan semalam apabila April menjadi bulan terburuk dalam penularan pandemik COVID-19 di negara itu, kata pihak berkuasa.

Kementerian Kesihatan Brazil berkata, negara Amerika Selatan itu mencatatkan 67,977 kematian sepanjang bulan ini, menjadikan April sebagai bulan terburuk, melangkaui rekod 66,573 pada bulan lalu.

Dalam tempoh 24 jam, Brazil mencatatkan 3,076 kematian, dengan purata mingguan 2,545 kematian sehari.

Selain itu, sebanyak 71,137 kes baharu COVID-19 turut dicatatkan semalam dengan purata kes harian melebihi 60,000 sejak dua minggu lalu.

Negara dengan penduduk paling ramai di Amerika Latin itu merekodkan lebih 380,000 kematian akibat COVID-19 daripada 212 juta penduduk setakat ini.

Hanya Amerika Syarikat (AS) yang mencatatkan angka lebih tinggi setakat ini, namun kadar kematian bagi setiap 100,000 penduduk di Brazil adalah yang tertinggi di kedua-dua benua Amerika dan hemisfera selatan.

Meskipun data membimbangkan, institut kesihatan awam Brazil, Fiocruz, pada Jumaat melaporkan bahawa dalam tempoh dua minggu lalu, jumlah kes dan kematian daripada COVID-19 semakin stabil, yang menunjukkan ciri jangkitan baharu.

Kadar kematian pula dijangka berlegar sekitar 3,000 sehari dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Setakat ini, hanya 5.8 peratus daripada keseluruhan populasi di Brazil menerima suntikan vaksin lengkap.

Namun, Kementerian Kesihatan negara itu merancang untuk melengkapkan pemberian vaksin COVID-19 kepada kumpulan keutamaan merangkumi 77 juta individu, pada September depan. - AFP

Berita Harian X