Sabtu, 13 Februari 2021 | 7:28pm
Menteri Kesihatan Peru, Pilar Mazzetti. - Foto AFP
Menteri Kesihatan Peru, Pilar Mazzetti. - Foto AFP

Menteri Kesihatan Peru letak jawatan susulan skandal vaksin COVID-19

LIMA: Menteri Kesihatan Peru meletak jawatan semalam susulan skandal mendakwa bekas Presiden Peru, Martin Vuzcarra, disuntik vaksin COVID-19 sebelum ia dapat diperoleh untuk mesyarakat umum.

Pilar Mazzetti, yang berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan sejak Julai lalu, menghantar surat peletakan jawatan kepada Presiden Francisco Sagasti, lapor stesen televisyen TV Peru, namun belum disahkan secara rasmi oleh kerajaan.

Media tempatan melaporkan, penggantinya akan dilantik hari ini, sekali gus menjadi Menteri Kesihatan kelima negara Amerika Selatan itu sejak pandemik coronavirus pertama kali muncul 11 bulan lalu.

Tempoh jawatan lima menteri berkenaan menyaksikan negara itu terus diserang gelombang kedua virus dengan hospital dipenuhi lebih 14,100 pesakit COVID-19, yang melaporkan kekurangan oksigen bagi merawat pesakit bermasalah pernafasan.

Peru hanya memulakan memulakan program inokulasi Selasa lalu, dua hari selepas menerima 300,000 dos vaksin daripada syarikat milik China, Sinopharm.

Bagaimanapun, akhbar Peru 21, Khamis lalu melaporkan bekas Vizcarra sudah divaksinasi secara rahsia pada Oktober, beberapa minggu sebelum diberhentikan dan dikeluarkan dari pejabat ekoran tuduhan 'tidak berwibawa dari segi moral'.

Vizcarra menegaskan, beliau hanya menawarkan diri untuk menyertai percubaan suntikan vaksin Sinopharm.

"Saya membuat keputusan berani untuk menyertai 12,000 sukarelawan," kata bekas presiden, yang kini sedang berkempen bagi memenangi kerusi dalam kongres pada pilihan raya umum April nanti.

Vizcarra, 57, menegaskan beliau merahsiakan fakta itu termasuk isterinya yang turut menerima suntikan, kerana 'sukarelawan perlu menjaga kerahsiaan'.

Namun, wakil rakyat pembangkang, Ali Mamani, menegaskan akan membuat aduan rasmi terhadap Vizcarra.

Mazzetti, yang dilantik Vizcarra sebagai Menteri Kesihatan, berkata beliau tidak tahu mengenai rahsia bekas ketuanya.

Namun, beliau menegaskan mereka yang memegang jawatan sebagai pembuat keputusan tidak wajar mengambil bahagian dalam ujian klinikal suntikan vaksin supaya tidak mengundang kritikan umum.

Peru, yang merekodkan hampir 1.2 juta kes COVID-19 dan lebih 43,000 kematian dalam kalangan 33 juta rakyatnya, memulakan imunisasi terhadap petugas kesihatan minggu ini.

Pihak berkuasa belum lagi mengumumkan bila imunisasi bagi masyarakat umum akan dimulakan. - AFP

Berita Harian X