Khamis, 3 Disember 2020 | 11:03am

Kes COVID-19 Amerika melonjak 30 peratus bulan lalu

WASHINGTON: Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) semalam mengeluarkan amaran berikutan jumlah kumulatif kes COVID-19 bulan lalu melonjak hampir 30 peratus di seluruh Amerika.

Pada penghujung Oktober, jangkitan yang didaftarkan di bahagian Amerika Utara, Selatan dan Tengah termasuk di Caribbean mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak 20.5 juta.

Sementara itu, pada penghujung November, jumlah kumulatif meningkat lebih enam juta kepada 26.9 juta kes.

Pengarah PAHO, Carissa Etienne, berkata ia termasuk kes harian yang didaftarkan di Amerika Utara.

Amerika Syarikat (AS) turut mencatatkan peningkatan kes, iaitu lebih daripada 150,000 pesakit COVID-19 sehari pada bulan lalu.

Daripada jumlah itu, 96,000 orang dimasukkan ke hospital iaitu angka tertinggi sejak bermulanya pandemik itu di AS manakala kadar kematian harian melebihi 2,700 iaitu yang tertinggi sejak April lalu.

Dalam pada itu, kebimbangan peningkatan kes turut dilaporkan di Kanada berikutan jangkitan membabitkan rumah jagaan.

Negara yang turut mencatatkan lonjakan kes adalah Brazil dan Cuba.

"Kes COVID-19 yang terus berlanjutan ini memerlukan kita bertindak pantas, terutama di lokasi di mana penularan kes belum dikawal.

"Kita masih perlu bergantung kepada pendekatan kesihatan awam kerana ia banyak membantu dalam mengurangkan jangkitan.

"Ini termasuk langkah duduk di rumah, mengamalkan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka," katanya.

Etienne turut menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan drastik terutama menjalankan ujian COVID-19 dan menggerakkan usaha bagi pengasingan serta kuarantin bagi pesakit yang dijangkiti wabak itu. - AFP

Berita Harian X