Rabu, 11 November 2020 | 7:25am
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. - Foto AFP

Biden tegaskan 'AS sudah kembali'

WASHINGTON: Beberapa pemimpin negara sekutu rapat Amerika Syarikat (AS) menghubungi Presiden, Joe Biden, semalam mengucapkan tahniah dan berikrar untuk bekerjasama dengan pentadbiran baharu Biden.

Namun, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo pula menegaskan Donald Trump akan kekal berkuasa.

Perdana Menteri British, Boris Johnson; Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Angela Merkel antara pemimpin sekutu rapat AS yang mengucapkan tahniah ketika menghubungi Biden yang menewaskan Trump dalam pilihan raya Presiden AS, minggu lalu.

"Saya maklumkan pada mereka bahawa AS sudah kembali. Kita akan kembali. AS tidak bersendirian," kata Biden kepada wartawan di kediamannya di Delaware.

Kumpulan peralihan berkata, Biden merancang bekerjasama dengan Eropah untuk menentang COVID-19 serta perubahan iklim, antara perkara yang Trump sangat berbeza pendapat dengan sekutunya.

Dalam perbualan dengan Merkel, yang dibidas Trump kerana membuka pintu pada imigran dan mengurangkan perbelanjaan ketenteraan Jerman, Biden sebaliknya memuji pentadbiran Merkel dan menggesa menggiatkan semula hubungan rentas Atlantik, termasuk Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU).

Johnson pula bercakap selama 20 minit dengan Biden dan memaklumkan menerusi Twitter bahawa beliau berharap untuk bekerjasama dengannya mengenai perubahan iklim, mengangkat demokrasi dan bangkit semula daripada pandemik COVID-19.

Semua pemimpin Kumpulan Tujuh demokrasi perindustrian turut mengucapkan tahniah pada Biden, termasuk sekutu rapat Trump, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman.

Sabtu lalu, media AS melaporkan Biden mendahului di negara utama dengan kukuh dan memiliki kelebihan undi popular, namun Trump enggan mengaku kalah dan mahu mengambil tindakan undang-undang dan mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya itu.

Pompeo yang juga Setiausaha Negara AS dalam pentadbiran Trump, menegaskan pendirian Trump adalah dasar rasmi kerajaan, sambil mengenepikan soalan sama ada beliau bekerja dengan kumpulan peralihan Biden.

"Pasti akan ada peralihan yang lancar untuk pentadbiran kedua Trump," kata Pompeo dalam sidang media.

Tegasnya, dunia perlu yakin terhadap fungsi kerajaan AS pasca pilihan raya itu serta selepas pelantikan Presiden AS yang baharu pada 20 Januari ini- AFP

Berita Harian X