Khamis, 22 Oktober 2020 | 12:39pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

COVID-19: Kematian pertama dilaporkan dalam ujian vaksin

RIO DE JANEIRO: Seorang sukarelawan ujian klinikal bagi vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh Universiti Oxford, meninggal dunia di Brazil, menurut pihak berkuasa, semalam.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu menerima vaksin berkenaan atau plasebo.

Ia adalah kematian pertama dilaporkan dalam ujian vaksin COVID-19 yang dijalankan di serata dunia.

Bagaimanapun, penganjur kajian itu memaklumkan, penilaian bebas telah membuat kesimpulan bahawa tidak timbul masalah membabitkan keselamatan, dan pengujian vaksin terbabit yang dibangunkan bersama firma farmaseutikal, AstraZeneca, akan diteruskan.

Media melaporkan, sukarelawan terbabit adalah seorang doktor berusia 28 tahun yang bertugas sebagai barisan hadapan dan meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19.

"Semua insiden perubatan yang signifikan, sama ada peserta berada dalam kumpulan kawalan atau kumpulan vaksin COVID-19, dinilai secara bebas.

"Hasil penilaian teliti terhadap kes di Brazil, tiada kebimbangan mengenai keselamatan ujian klinikal itu. Malah penilaian bebas sebagai tambahan kepada yang dijalankan oleh pihak berkuasa Brazil, mengesyorkan ujian itu diteruskan," menurut kenyataan dikeluarkan Oxford.

Pihak berkuasa kesihatan kebangsaan, Anvisa mengesahkan sudah dimaklumkan secara rasmi mengenai kes itu pada 19 Oktober lalu serta menerima laporan penilaian bebas daripada jawatankuasa penilaian dan keselamatan yang memantau kajian berkenaan.

September lalu, Oxford dan AstraZeneca dilaporkan terpaksa menggantung ujian vaksin berkenaan apabila seorang sukarelawan di Britain mengalami penyakit tidak dapat dijelaskan.

Namun, ujian disambung semula selepas pihak berkuasa Britain dan satu penilaian bebas dilapor merumuskan bahawa penyakit itu bukan kesan sampingan vaksin terbabit.

Menurut Institut Pengajaran dan Penyelidikan D'Or (IDOR) yang membantu penganjuran ujian berkenaan di Brazil, separuh daripada sukarelawan pada ujian klinikal peringkat terakhir itu menerima plasebo.

Setakat ini, katanya, kira-kira 8,000 sukarelawan telah menerima vaksin di Brazil, dan lebih 20,000 di seluruh dunia.

Peserta kajian mestilah doktor, jururawat dan petugas lain dalam sektor kesihatan yang kerap menangani virus berkenaan.

Akhbar Brazil, Globo, melaporkan sukarelawan meninggal dunia itu adalah doktor muda yang sering merawat pesakit COVID-19 di bilik kecemasan dan unit rawatan rapi di dua hospital di Rio de Janeiro sejak Mac lalu.

Ahli keluarga serta rakan memberitahu akhbar itu, mangsa menamatkan pengajian dalam bidang perubatan pada tahun lalu dan berada dalam keadaan sihat sebelum dijangkiti virus berkenaan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X