Sabtu, 17 Oktober 2020 | 7:10am
Bekas Menteri Pertahanan Mexico, Salvador Cienfuegos ditahan di Los Angeles, Khamis lalu. Foto fail AFP
Bekas Menteri Pertahanan Mexico, Salvador Cienfuegos ditahan di Los Angeles, Khamis lalu. Foto fail AFP

Bekas menteri pertahanan Mexico didakwa edar dadah, pengubahan wang

MEXICO: Bekas menteri pertahanan Mexico, Salvador Cienfuegos yang ditahan di Amerikas Syarikat (AS) kelmarin, dituduh atas kesalahan mengedar dadah dan pengubahan wang.

Dokumen dikeluarkan Pendakwa Raya Persekutuan New York mendedahkan Cienfuegos didakwa terbabit dengan konspirasi menghasil dan mengedarkan ribuan kilogram kokain, heroin, methamphetamine serta marijuana di AS antara Disember 20-15 dan Februari 2017.

Dokumen itu menjelaskan, jeneral tentera bersara berusia 72 tahun yang mendapat jolokan 'The Godfather' itu didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk membantu Kartel H-2, organisasi pemerdagangan dadah Mexico yang berbahaya.

"Sebagai pertukaran pembayaran rasuah, dia mengizinkan Kartel H-2, sebuah kartel yang secara rutin melakukan perdagangan secara kekerasan termasuk penyeksaan dan pembunuhan beroperasi tanpa dkenakan tindakan undang-undang di Mexico," kata dokumen pendakwaan itu.

Pihak pendakwaan menjelaskan bukti berkenaan merangkumi ribuan mesej menerusi telefon pintar Blackberry di antara Cienfuegos dan anggota kartel yang dipintas pihak berkuasa.

Cienfuegos, 72, yang menjadi Menteri Pertahanan ketika era Enrique Pena Nieto menjadi Presiden pada tahun 2012 hingga 2018, ditahan di lapangan terbang Los Angeles, kelmarin ketika bercuti ke AS bersama keluarganya.

Sabit kesahalan, bekas menteri pertahanan itu berdepan hukuman penjara minimum 10 tahun di AS dan maksimum penjara sepanjang hayat.

Kertas pertuduhan itu difailkan oleh Pejabat Peguam Daerah New York City pada Ogos 2019, tetapi hanya dihebahkan semalam.

"Pihak berkuasa AS berusaha mengenakan tahanan kekal ke atas Cienfuegos kerana berisiko tinggi untuk melarikan diri dan beliau dijangka dipindahkan ke New York minggu depan," kata pendakwa raya.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador, berkata penahanan Cienfuegos itu turut dikaitkan yang jeneral tentera itu turut didakwa terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

"Kami menghadapi situasi yang belum pernah terjadi sebelum ini. Sudah tentu, semua ini akan dibuktikan," katanya semalam.

Lopez Obrador mengesahkan dua bekas menteri Mexico kini ditahan di AS atas tuduhan mempunyai kaitan dengan kartel dadah.

Sebelum ini, bekas Menteri Keselamatan Awam, Genaro Garcia Luna ditahan di Texas pada Disember 2019 atas dakwaan mengambil rasuah bagi membolehkan kartel Sinaloa membekal dadah ke AS, tetapi dinafikan beliau.

Bekas ketua Agensi Penguatkuasaan Dadah AS, Mike Vigil menyifatkan penahanan terbaharu itu menunjukkan pihak berkuasa AS sedang memburu sasaran yang lebih utama.

"Cienfuegos mempunyai maklumat yang mencukupi. Pendakwa dan agensi persekutuan biasanya akan mendapatkan maklumat daripada individu yang ditahan seperti Cienfuegos kerana ia mampu menjurus kepada orang yang sama kedudukannya atau lebih atas lagi," katanya.

Beliau berkata, dakwaan terhadap Cienfuegos itu dipercayai diperoleh daripada Joaquin 'El Chapo Guzman, saksi kes perbicaraan dadah di AS yang juga 'raja dadah' yang sedang menjalani hukuman penjara sepanjang hayat. - AFP

Berita Harian X