Selasa, 25 Ogos 2020 | 2:08pm
Seorang lelaki melintasi kenderaan yang dibakar perusuh berhampiran bangunan mahkamah di Kenosha, Wisconsin, ketika penunjuk perasaan melakukan protes terhadap kes lelaki kulit hitam, Jacob Blake ditembak polis. - Foto AFP
Seorang lelaki melintasi kenderaan yang dibakar perusuh berhampiran bangunan mahkamah di Kenosha, Wisconsin, ketika penunjuk perasaan melakukan protes terhadap kes lelaki kulit hitam, Jacob Blake ditembak polis. - Foto AFP

Merusuh tuntut keadilan diskriminasi kaum

KENOSHA, WISCONSIN: Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi meleraikan insiden tunjuk perasaan yang meminta keadilan berkaitan isu perkauman di sini, yang bertukar menjadi ganas.

Kejadian tunjuk perasaan yang masuk hari kedua itu bagi menuntut keadilan terhadap diskriminasi kaum susulan kemarahan orang awam terhadap video lelaki kulit hitam berusia 29 tahun, Jacob Blake ditembak beberapa kali oleh anggota polis tersebar.

Insiden pada Ahad itu turut disaksikan ketiga-tiga anaknya yang masih kecil.

Dalam masa singkat selepas perintah berkurung dikuatkuasakan di bandar Kenosha bermula jam 8 malam semalam, manakala polis tempatan mula menggunakan gas pemedih mata selepas ratusan penunjuk perasaan mula bertindak ganas dan membaling botol air dan meletupkan bunga api.

Blake dilaporkan sedang kritikal dan dirawat di hospital di Milwaukee dan media tempatan semalam melaporkan, keluarga lelaki itu memaklumkan beliau sudah menjalani pembedahan dan keadaannya semakin stabil.

Sementara itu, Gabenor Wisconsin, Tony Evers berkata, 125 anggota Pengawal Kebangsaan diarahkan untuk memantau di sekitar bandar itu.

Rakaman insiden tembakan membabitkan Blake dan kurangnya penjelasan daripada pihak berkuasa mengenai kejadian itu, antara punca orang ramai merusuh.

Ia ditambah dengan memori penduduk AS terhadap insiden kematian seorang lelaki kulit hitam, George Floyd, ketika dalam tahanan polis di Minneapolis, tiga bulan lalu.

Untuk rekod, anggota polis Minnesota yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Floyd dipecat.

Rakaman video saksi yang tular di media sosial menunjukkan anggota polis berkenaan bertindak secara agresif ketika menahan Floyd.

Dalam video itu, Floyd dilihat merayu kepada pihak polis yang bertindak melutut atas lehernya sehingga tidak boleh bernafas. - AFP

Berita Harian X