Isnin, 24 Ogos 2020 | 10:07am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

COVID-19: AS guna plasma darah sebagai rawatan

WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan kebenaran segera bagi doktor menggunakan plasma darah daripada pesakit pulih COVID-19, sebagai rawatan wabak yang membunuh sudah lebih 176,000 orang di negara Uncle Sam itu.

Keputusan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) disusuli selepas Presiden Donald Trump menerima tekanan kuat untuk mengekang penularan wabak berkenaan, sehingga menjejaskan ekonomi terbesar dunia itu, selain menjejaskan prospek janji yang dibuat beliau untuk pilihan raya pada November depan.

Plasma dipercayai mengandungi antibodi berkuasa yang dapat membantu melawan COVID-19 dengan cepat, selain membantu melindungi orang daripada terjejas teruk.

"Produk ini mungkin berkesan merawat COVID-19 dan manfaat yang diketahui dan berpotensi melebihi risiko yang diketahui, serta berpotensi dari produk berkenaan," kata FDA dalam satu kenyataan.

Sementara rawatan sudah digunakan untuk pesakit di AS dan negara lain, lanjutan keberkesanan masih menjadi topik debat di antara pakar serta terdapat amaran ia boleh memberi kesan sampingan.

"Plasma penyembuhan mungkin berfungsi, walaupun ia masih perlu dibuktikan melalui ujian klinikal tetapi tidak sebagai rawatan penyelamat bagi orang yang sudah sakit teruk," kata Len Horovitz, iaitu seorang pakar paru-paru di Hospital Lenox Hill, dekat New York.

Jelasnya, plasma mungkin akan berfungsi jauh lebih baik setelah seseorang terkena virus, ketika tubuh berusaha meneutralkan jangkitan.

Namun, beliau menegaskan ada masalah bekalan plasma sekali gus bermaksud sukar mendapatkan jumlah yang cukup untuk rawatan semua orang pada peringkat awal penyakit.

FDA sudahpun membenarkan pemindahan plasma penyembuhan untuk pesakit COVID-19 dalam keadaan tertentu, antaranya membabitkan ujian klinikal dan orang yang sakit parah.

The Washington Post melaporkan, lebih 70,000 pesakit COVID-19 di AS menerima pemindahan itu.

Trump dikecam hebat kerana gagal menguruskan krisis penularan COVID-19 di negara itu, hingga negara itu kekal teratas membabitkan jangkitan dan kematian tertinggi.

Beliau juga menghadapi pemilihan semula presiden yang sukar menentang pencabar dari Parti Demokrat, Joe Biden apabila tidak dapat menyediakan rawatan berkesan atau vaksin, sebelum hari undi pada 3 November depan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X