Khamis, 20 Ogos 2020 | 10:44am
 Orang ramai mengadakan tunjuk perasaan di Lafayette Park, berdekatan Rumah Putih membantah lawatan Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhemi ke Rumah Putih. - Foto AFP
Orang ramai mengadakan tunjuk perasaan di Lafayette Park, berdekatan Rumah Putih membantah lawatan Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhemi ke Rumah Putih. - Foto AFP

PM Iraq akan temui Trump bincang agenda ketenteraan

WASHINGTON: Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhemi akan bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk pertama kalinya di Washington pada Khamis dengan isu kehadiran tentera Amerika di negara itu sebagai agenda utama.

Pertemuan itu diadakan ketika serangan terhadap warga Amerika oleh pejuang pro-Iran meningkat dengan Tehran dan Washington bersaing untuk mendapatkan pengaruh di Iraq.

Kadhemi, yang memegang jawatan pada Mei lalu, menghadapi cabaran dari puak Hashed al-Shaabi, sebuah gabungan kumpulan paramiliter Syiah Iraq yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran.

Perwakilan politik Hashed al-Shaabi meminta pengusiran 5,000 tentera AS yang dikerahkan di negara itu sebagai sebahagian dari usaha antijihad.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, berkata kumpulan bersenjata yang berada di bawah kendalian penuh perdana menteri itu menghalang kemajuan negara dan meminta digantikan dengan polis tempatan secepat mungkin.

Ditanya mengenai rancangan membawa pulang 5,000 tentera AS yang kini berada di Iraq, Pompeo mengatakan dia tidak mengetahui jumlah itu dan mendesak supaya tidak fokus pada hal berkenaan.

"Tidak ada garis waktu dan tidak ada angka tepat tetapi yang pasti ia menjadi sebahagian daripada perbincangan, ketika kita sedang menilai syarat keselamatan Iraq dan AS percaya ia boleh dilakukan.

"Kumpulan bersenjata ini adalah masalah berterusan yang mencabar keamanan Iraq, mengancam kepentingan pasukan AS di rantau ini dan tentunya itu adalah cabaran untuk kedaulatan Iraq.

"Kami berpendapat bahawa keperluan keselamatan dalaman Iraq dapat dipenuhi oleh pasukan yang pertama dan paling utama, berada di bawah kawalan pemerintah Iraq," kata seorang pegawai kanan pentadbiran.

Sementara itu, Hashed al-Shaabi menafikan ada kaitan dengan serangan anti-AS baru-baru ini, tetapi video dan dakwaan di media sosial menunjukkan ia seperti terbabit sama melalui kumpulan yang beroperasi dengan nama lain.

Dalam pada itu, serangan meningkat dalam beberapa minggu lalu dengan tentera Iraq melaporkan serangan roket Selasa lalu yang menyasarkan lapangan terbang Baghdad, di mana tentera AS berpusat.

Bermula Oktober 2019 hingga akhir Julai lalu, puak bersenjata Iraq melakukan 39 serangan roket terhadap kepentingan Amerika di negara itu.

Ketika Rumah Putih mengesahkan Trump akan bertemu Kadhemi, serangan semakin meningkat iaitu hampir 14 serangan bom dan roket menyasarkan pangkalan yang menempatkan tentera AS dan kedutaan AS. - AFP

Berita Harian X