Isnin, 17 Ogos 2020 | 11:38am
 Pekerja tanah perkuburan mengebumikan mangsa COVID-19 di tanah perkuburan untuk mangsa yang miskin dan gagal dikenal pasti identiti di Andes, selatan Peru. - Foto AFP
Pekerja tanah perkuburan mengebumikan mangsa COVID-19 di tanah perkuburan untuk mangsa yang miskin dan gagal dikenal pasti identiti di Andes, selatan Peru. - Foto AFP

Satu pertiga rakyat Peru dakwa Vizcarra gagal tangani COVID-19

LIMA: Satu pertiga rakyat Peru percaya Presiden Martin Vizcarra gagal menangani pandemik COVID-19, dua kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang tidak bersetuju dengan tindak balasnya ketika penguatkuasaan perintah berkurung, menurut kajian diterbitkan La Republica pada Ahad.

Tiga puluh satu peratus responden mengatakan Vizcarra menangani krisis itu secara teruk atau sangat teruk dengan 46 peratus menganggap usahanya itu sebagai 'average' dan bakinya menganggap ia sebagai baik atau sangat baik.

Peru antara negara di Amerika Latin yang paling teruk terjejas dengan jumlah kematian ketiga tertinggi selepas Brazil dan Mexico serta kedua tertinggi selepas Brazil dalam kes jangkitan.

Negara dengan kepadatan penduduk 33 juta kini merekodkan lebih 26,280 kematian dan 535,000 jangkitan.

Hasil kajian yang dijalankan Institut Kajian Peru berbeza dengan undian pendapat ketika pelaksanaan kuarantin yang ketat dari 16 Mac hingga 30 Jun, apabila 17 peratus rakyat Peru tidak bersetuju dengan kaedah Vizcarra menguruskan krisis.

Hasil tinjauan yang dilakukan pada 1 hingga 12 Ogos berdasarkan 1,219 wawancara telefon menunjukkan dua daripada tiga rakyat Peru percaya bahawa mereka juga harus dipersalahkan dalam isu penyebaran virus apabila gagal mematuhi larangan pemerintah.

Enam puluh enam peratus mengatakan "ketidaktanggungjawaban warganegara" adalah sebab utama COVID-19 terus menular, sementara 15 peratus mengatakan itu adalah "ketidakmampuan pemerintah."

Lapan belas peratus mengatakan akan mengambil masa berbulan-bulan untuk menyelesaikan krisis. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X