Sabtu, 1 Ogos 2020 | 12:35pm
Orang ramai mengisi beg pasir bagi membuat benteng sebagai persediaan menghadapi taufan di Miami. - Foto AFP
Orang ramai mengisi beg pasir bagi membuat benteng sebagai persediaan menghadapi taufan di Miami. - Foto AFP

Taufan Isaias membadai Bahamas, bergerak ke Florida

MIAMI: Taufan Isaias membadai Bahamas semalam dan kini bergerak menghala ke Florida, satu lagi malapetaka besar kepada Amerika Syarikat (AS) ketika negara itu berhadapan rekod kematian tertinggi akibat pandemik COVID-19.

Dikategorikan sebagai taufan tahap satu, Isaias membawa angin dengan kelajuan 120 kilometer (km) sejam, selepas membadai Republik Dominican.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan berpusat di Miami, ribut itu mengumpul kekuatan dan bergerak ke barat laut dengan kelajuan 26 km sejam (km/j).

"Ia dijangka membadai tenggara Bahamas dan gugusan kepulauan Turks dan Caicos, membawa bersama angin kencang.

"Ribut itu semakin mengukuh hari ini, dan taufan Isaias dijangka kekal untuk beberapa hari lagi," katanya.

Ribut dijangka bertiup melintasi tenggara Bahamas menuju ke wilayah tengah pada sebelah malamnya.

Diramalkan, dengan kekuatan tiupan angin itu, taufan dijangka melanda barat laut Bahamas hari ini dan melanda Florida esok.

Amaran taufan menyatakan taufan itu merentasi kawasan rendah di Bahamas dan pantai timur Florida termasuk Palm Beach, lokasi resort milik Presiden AS, Donald Trump, Mar a Lago, yang kini dalam pengawasan taufan.

Taufan itu adalah yang pertama sejak taufan Dorian, yang ditakrifkan sebagai taufan tahap lima, membadai tahun lalu menyebabkan dua pulau rosak teruk selepas tiga hari bergelut dengan ribut berkenaan.

Isaias sebelum ini membadai Puerto Rico, menyebabkan banyak pokok tumbang dan menjejaskan talian elektrik serta meruntuhkan kediaman penduduk, selain melumpuhkan perhubungan di pulau itu.

Di Florida, wujud kebimbangan taufan Isaias akan menyebabkan kesesakan di hospital yang kini dipenuhi pesakit COVID-19.

Jumaat lalu, 257 kematian dilaporkan di Florida, yang empat hari berturut-turut mencatatkan rekod tertinggi kehilangan nyawa, menjadikan jumlah keseluruhan 6,843 orang maut.

Sejak beberapa minggu lalu, Florida mencatatkan purata hampir 10,000 kes COVID-19 sehari.

Ketika ini, kes tertinggi dicatatkan di California, yang mempunyai jumlah penduduk dua kali ganda berbanding Florida dengan 21 juta penduduk. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X