Isnin, 20 Julai 2020 | 12:59pm
Pekerja mengalihkan keranda berisi mayat mangsa COVID-19 dari bilik sejuk beku untuk dibawa ke pusat pembakaran mayat El Angel di Lima, Peru. - Foto AFP
Pekerja mengalihkan keranda berisi mayat mangsa COVID-19 dari bilik sejuk beku untuk dibawa ke pusat pembakaran mayat El Angel di Lima, Peru. - Foto AFP

Lebih 13,000 maut akibat COVID-19 di Peru

LIMA: Kementerian Kesihatan Peru semalam mengesahkan lebih 13,000 mangsa maut akibat COVID-19, sehari sebelum negara itu dijadualkan membuka semula restoran sebagai pelonggaran langkah kawalan pergerakan.

Malah, 189 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam, meningkatkan jumlah kematian kepada 13,187 orang, menurut laporan harian kementerian itu.

Laporan itu juga menunjukkan 4,090 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh sama, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 353,590 kes.

Menteri Kesihatan, Pilar Mazzetti, memberitahu stesen televisyen Canal N bahawa pihaknya mendapati ada sedikit peningkatan kes.

"Secara relatif, kita mampu menangani masalah ini walaupun dalam keadaan yang terbatas, tetapi sekiranya terdapat peningkatan mendadak, maka kita terpaksa mengambil langkah lain," katanya.

Peru dengan 33 juta penduduk, merekodkan jumlah kes kedua tertinggi di Amerika Latin selepas Brazil selain mencatatkan angka kematian ketiga tertinggi selepas Brazil dan Mexico.

Hospital di negara itu hampir lumpuh dengan jumlah pesakit terus meningkat, malah kekurangan peralatan perubatan dan sumber lain menyebabkan ramai pekerja kesihatan mengeluh.

Semalam, doktor dan jururawat mengadakan protes di luar sebuah hospital di bandar Arequipa, ketika Presiden Peru, Martin Vizcarra, membuat lawatan.

Laungan 'Vizcarra, cukup dengan tipu muslihat, pesakit kian tenat', adalah antara teguran yang menyambut ketibaan beliau di pintu hospital berkenaan.

Peru pada 1 Julai lalu, menamatkan perintah berkurung di 25 wilayah termasuk Lima, di mana kerajaan mendakwa jangkitan COVID-19 'berkurangan' walaupun 70 peratus kes jangkitan negara itu dicatatkan di bandar berkenaan.

Mulai hari ini , restoran akan dibuka dengan kapasiti 40 peratus dalam usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi yang semakin merudum. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X