Rabu, 24 Jun 2020 | 9:31am

COVID-19: Amerika Latin, Caribbean melepasi 100,000 kematian

MONTEVIDEO: Jumlah kematian akibat wabak COVID-19 di Amerika Latin dan Caribbean melepasi 100,000 kes, semalam, dengan lebih separuh daripadanya direkodkan di Brazil, menurut satu penjumlahan AFP berdasarkan angka rasmi.

Penularan pandemik itu semakin meningkat di seluruh rantau ini yang telah mencatatkan 2.1 juta kes, dengan Brazil, Mexico, Peru dan Chile muncul sebagai negara paling terkesan.

Brazil mencatat angka korban COVID-19 yang kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat (AS), iaitu lebih 52,640 mangsa daripada keseluruhan 1,145,906 kes jangkitan disahkan.

Mexico merekodkan bilangan kes tertinggi dalam tempoh 24 jam dengan 6,288 jangkitan baharu, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.

Penularan COVID-19 di Peru pula telah melepasi 260,000 kes ketika perintah berkurung mandatori di negara itu mencecah 100 hari.

Colombia yang mencatatkan 2,404 kematian dan lebih 73,500 kes jangkitan, melanjutkan tempoh perintah berkurung hingga 15 Julai depan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X