Rabu, 17 Jun 2020 | 12:00pm
Aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Brazil, Rio de Paz (Peace Rio) berdiri berhampiran 100 ‘kubur’ yang dibuat sebagai tanda bantahan terhadap kelemahan kerajaan mengendalikan krisis COVID-19. - Foto AFP
Aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Brazil, Rio de Paz (Peace Rio) berdiri berhampiran 100 ‘kubur’ yang dibuat sebagai tanda bantahan terhadap kelemahan kerajaan mengendalikan krisis COVID-19. - Foto AFP

Brazil lapor peningkatan harian tertinggi COVID-19

RIO DE JANEIRO: Brazil semalam merekodkan peningkatan harian tertinggi apabila mencatatkan hampir 35,000 kes COVID-19 dalam tempoh 24 jam.

Negara yang kedua paling terjejas di dunia selepas Amerika Syarikat (AS) itu melaporkan 34,918 kes baharu dan 1,282 kematian akibat virus itu dalam tempoh 24 jam.

Secara keseluruhan, Brazil kini mencatatkan 928,834 kes jangkitan termasuk 45,456 kematian tetapi pakar berpendapat itu bukan angka sebenar kerana sebahagian besar daripada 212 juta penduduk masih belum diuji.

Hakikat itu amat membimbangkan pegawai tertinggi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di rantau Pan Amerika, berikutan keadaan di Brazil terus bertambah buruk.

Pengarah Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika, Carissa Etienne, berkata Brazil kini mempunyai 23 peratus kes jangkitan dan 21 peratus kematian yang dilaporkan di rantau itu, malah trend berkenaan tidak menunjukkan pengurangan.

Brazil sejak awal lagi bergelut bagi usaha memerangi virus terbabit, dengan Presidennya, Jair Bolsonaro, menyifatkan COVID-19 sebagai masalah 'selesema kecil' dan sering bertelagah dengan pihak berkuasa tempatan serta negeri.

Beliau membantah keras perintah berkurung dan larangan keluar rumah atas alasan ia menjejaskan ekonomi dan meletakkan kepercayaan pada ubat seperti klorokuin dan hidroksiklorokuin walaupun keberkesanannya belum dibuktikan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X