X
Khamis, 11 Jun 2020 | 1:02pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: Amerika Latin catat lebih 70,000 kematian, ekonomi global merosot

SAO PAULO: Pandemik COVID-19 terus mengakibatkan jumlah kematian meningkat dengan Amerika Latin semalam melepasi angka 70,000 orang, walaupun Eropah merancang membuka semula sempadan luarnya kepada orang asing mulai Julai.

Amerika Utara dan Selatan menjadi pusat krisis kesihatan global, merekodkan hampir separuh daripada 412,926 kematian dan 7.3 juta jangkitan di seluruh dunia, berdasarkan statistik AFP dan data kementerian kesihatan kebangsaan.

Brazil mencatatkan kira-kira 40,000 kematian atau lebih daripada separuh kehilangan nyawa di Amerika Latin, dengan mencatatkan 1,274 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.

Walaupun virus itu masih berleluasa di negara itu, ibu kota ekonomi Sao Paulo mula membuka kembali perniagaan mulai semalam sebagai sebahagian kaedah memulakan aktiviti ekonomi secara berperingkat.

Pusat beli-belah dijangka dibuka semula di beberapa bandar hari ini, sehari sebelum warga Brazil merayakan Hari Valentine.

Mexico, dengan hampir 15,000 kematian dan Peru dengan hampir 6,000 kematian daripada 208,000 kes COVID-19, juga dilaporkan mengalami lonjakan jangkitan besar-besaran.

Bagaimanapun, anggota Parlimen di Bolivia, dengan jumlah kematian akibat COVID-19 yang agak kecil iaitu 487, semalam meluluskan 6 September sebagai tarikh pilihan raya umum yang sebelum ini ditangguhkan akibat virus itu.

Di tempat lain, Miami yang bergantung kepada pelancongan membuka kembali pantainya selepas tiga bulan ditutup biarpun mencatatkan hampir dua juta kes dan 112,000 kematian akibat COVID-19 di Amerika Syarikat (AS), negara terburuk dilanda pandemik itu.

Rizab Persekutuan (Fed) AS mengunjurkan pemulihan kukuh bagi ekonomi negara itu tahun depan.

Ketua Fed, Jerome Powell bagaimanapun, mengingatkan bahawa prospek masih tidak menentu dan bank pusat serta Kongres perlu melakukan lebih banyak usaha bagi meningkatkan pemulihan.

Di seberang Atlantik, Kesatuan Eropah (EU) berharap dapat membuka semula sempadan luarnya kepada orang asing pada Julai ini, ketika banyak negara ingin melonggarkan tekanan ekonomi daripada perintah berkurung yang mengakibatkan kemerosotan ekonomi global mendadak.

Sementara itu, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menjangkakan ekonomi dunia merosot sekurang-kurangnya enam peratus tahun ini kerana banyak penutupan sektor ekonomi akibat virus itu.

Menurut ramalan ekonomi itu, menjelang akhir tahun depan, kehilangan pendapatan dijangka melebihi 'kemelesetan sebelum 100 tahun lalu di luar masa perang'.

Negara anggota EU seperti Brussels mencadangkan pembukaan semula sempadan luar secara berperingkat dan separa kepada pelancong di luar blok ekonomi itu mulai 1 Julai, kata ketua diplomatik Josep Borrell semalam.

Greece, negara yang sangat bergantung kepada pelancongan mengumumkan membuka ruang udaranya bermula 15 Jun dengan membenarkan negara-negara bukan EU seperti Australia, China dan Korea Selatan memasukinya.

Austria dan Jerman pula mengumumkan melonggarkan sekatan perjalanan, walaupun Jerman memberikan peringatan supaya tidak melakukan perjalanan di luar EU hingga 31 Ogos depan.

Di Sepanyol, di mana lebih daripada 27,000 orang terkorban akibat COVID-19, kejuaraan bola sepak La Liga akan disambung semula pada Khamis untuk pertama kalinya dalam tiga bulan ini.

Sementara itu di Britain, yang memiliki jumlah kematian tertinggi di Eropah, Perdana Menteri Boris Johnson mempertahankan apa yang digambarkannya sebagai usaha "mengejutkan" negara itu untuk menangani virus itu.

Namun, seorang saintis terkemuka di sana mengatakan jumlah kematian dapat dikurangkan separuh sekiranya langkah-langkah perintah berkurung diperkenalkan seminggu lebih awal.

Pendakwa Itali mengatakan mereka ingin menyoal Perdana Menteri, Giuseppe Conte dan menteri kesihatan dan dalaman mengenai bagaimana pemerintah menangani wabak terbabit.

Perkembangan itu bagaimanapun tidak memuaskan berikutan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan masih terlalu awal melonggarkan sekatan dan kluster jangkitan semakin meningkat.

Pasukan serantau WHO, Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika, memberi amaran musim taufan yang akan datang boleh menjejaskan usaha memerangi virus itu.

Iran mengumumkan lebih daripada 2,000 kes baharu semalam, ia adalah sebahagian daripada lonjakan baru-baru ini yang dikaitkan dengan peningkatan ujian.

Indonesia mencatatkan 1,241 kes baharu, mendorong pakar kesihatan merayu supaya negara keempat kepadatan penduduk di dunia itu melewatkan memberi kelonggaran terhadap perintah berkurungnya.

New Delhi, ibu negara India, pihak berkuasanya menjangkakan setengah juta kes COVID-19 direkodkan dan memerlukan 150,000 katil hospital pada pertengahan Julai ini. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X