Jumaat, 5 Jun 2020 | 7:05am

COVID-19: Peru catat 5,000 kematian

LIMA: Peru merekodkan 5,000 kematian akibat COVID-19 semalam, menurut kementerian kesihatan negara itu, kerana hospital menghadapi kekurangan oksigen untuk pesakit yang sakit parah.

Ia mencatatkan lebih daripada 183,000 kes COVID-19, menjadikannya negara kedua paling teruk dilanda pandemik itu di Amerika Latin selepas Brazil.

Pegawai merekodkan lebih 4,200 kes baharu dan 137 kematian dalam 24 jam terakhir, menjadikan jumlah kematian Peru 5,031, kata kementerian kesihatan.

Negara itu mencatatkan kematian ketiga terbanyak di Amerika Latin akibat wabak itu, selepas Brazil dan Mexico.

Dengan lebih 9,000 pesakit COVID-19 menerima rawatan di hospital, sistem kesihatan Peru hampir runtuh.

Pemerintah semalam mengisytiharkan oksigen sebagai 'sumber kesihatan strategik' kerana bekalannya tersangat kurang untuk merawat pesakit COVID-19.

Presiden Martin Vizcarra berkata, oksigen yang digunakan untuk penjagaan kesihatan 'adalah keutamaan berbanding penggunaan perindustriannya.'

COVID-19 telah membunuh sekurang-kurangnya 146 pegawai polis, 61 doktor dan paramedik, 20 wartawan dan lapan anggota bomba di Peru, menurut pihak berkuasa dan kesatuan sekerja.

Peru telah berada di bawah perintah sekatan akibat virus itu selama 81 hari dengan perintah berkurung malam dan sempadan tertutup.

Sebanyak 70 peratus kes COVID-19 adalah di ibu negara Lima dan pelabuhan Callao yang berdekatan, tempat tinggal sepertiga dari 33 juta rakyat negara itu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X