Rabu, 3 Jun 2020 | 2:13pm
Pandangan udara menunjukkan penggali kubur di Tanah Perkuburan Nossa Senhora Aparecida yang menempatkan mangsa COVID-19 di Taruma, Manaus, Brazil. - Foto AFP
Pandangan udara menunjukkan penggali kubur di Tanah Perkuburan Nossa Senhora Aparecida yang menempatkan mangsa COVID-19 di Taruma, Manaus, Brazil. - Foto AFP

COVID-19: 5,000 kes kematian di seluruh dunia dalam tempoh 24 jam

WASHINGTON: Angka korban akibat pandemik COVID-19 terus meningkat dan sebanyak 5,000 kes kematian direkodkan di seluruh dunia dalam masa 24 jam, mengikut statistik Johns Hopkins University.

Ia sekali gus menjadikan kes kumulatif kematian di seluruh dunia melepasi 378,000 kes.

Amerika Syarikat (AS) mempunyai angka kematian tertinggi dengan 105,000 kes, diikuti United Kingdom dan Itali masing-masing berada di tangga kedua dan ketiga dengan mencatatkan lebih 39,000 kes dan 33,000 kes kematian.

Brazil, Perancis dan Sepanyol pula merekodkan jumlah korban lebih 20,000 dengan masing-masing mencatat 29,000, 28,000 dan 27,000 kes kematian.

Negara lain masih mempunyai angka maut akibat virus itu di bawah 11,000 kes.

Pada masa sama, sebanyak 2.7 juta pesakit COVID-19 di seluruh dunia sudah sembuh dan dibenarkan discaj.

Sementara itu, menurut data sama dari Johns Hopkins University, jumlahh kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini melebihi 6.33 juta.

Dalam tempoh 24 jam, terdapat pertambahan lebih 100,000 kes jangkitan baharu.

AS terus mendahului kes jangkitan COVID-19 dengan mencatatkan 1.82 juta.

Ia juga satu-satunya negara yang mempunyai angka positif melebihi 1 juta.

Brazil kini menjadi negara kedua tertinggi dengan jumlah kumulatif positif jangkitan setengah juta kes manakala Rusia ketiga dengan melebihi 400,000 kes.

Sementara itu, United Kingdom, Sepanyol dan Itali masing-masing mencatatkan jumlah jangkitan melepasi 200,000 kes, manakala tujuh lagi negara mempunyai kes positif melepasi 100,000 iaitu India, Perancis, Jerman, Peru, Turki, Iran dan Chile.

Negara lain masih merekodkan angka jangkitan di bawah 100,000, namun Kanada, Mexico dan Arab Saudi melepasi angka jangkitan di China tempat berasalnya virus itu dengan jumlah melebihi 84,000 kes. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X