Rabu, 3 Jun 2020 | 12:09pm
Roxie Washington bersama anak perempuan George Floyd, Gianna. - Foto AP
Roxie Washington bersama anak perempuan George Floyd, Gianna. - Foto AP

'Kami hanya tuntut keadilan untuk Floyd'

WASHINGTON: Ibu kepada anak perempuan George Floyd, Roxie Washington hanya mahukan keadilan terhadap kematian lelaki kulit hitam itu ketika ditahan polis di Minneapolis, minggu lalu.

"Kami hanya mahukan keadilan untuk Floyd kerana dia seorang yang baik, tak kisahlah apa orang lain fikir.

"Dia memang baik dan inilah bukti bahawa dia orang lelaki yang baik," kata Washington sambil menunjukkan anak perempuannya, Gianna.

Kenyataan itu dibuat menerusi satu sidang media yang dijalankan pada Selasa selepas beberapa hari protes susulan kematian Floyd.

Washington bersama anak perempuannya, Gianna dilihat sebak ketika bercakap pada sidang media berkenaan.

"Tidak banyak perkara yang saya hendak katakan kerana tidak mampu meluahkan.

"Tetapi saya mahu semua orang tahu inilah kesannya apabila pegawai itu melakukan keganasan.

"Pengakhirannya, mereka turut pulang ke rumah dan bersama keluarga mereka.

"Gianna tidak lagi mempunyai seorang ayah. Floyd tidak lagi boleh melihat anaknya membesar, tamatkan pelajaran dan bersamanya.

"Sekiranya dia mempunyai masalah, dia memerlukan bapanya. saya di sini untuk anaknya ini dan Floyd kerana saya mahukan keadilan untuknya, kerana dia seorang yang baik," katanya.

Washington berkata, Floyd berpindah dari Texas ke Minneapolis untuk mencari kehidupan lebih baik, malah sentiasa memberi sokongan kepada anak perempuan mereka dan selalu berkata akan menjaganya sebaik mungkin.

Sebelum ini, anggota polis Minnesota yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Floyd dipecat.

Rakaman video saksi yang tular di media sosial menunjukkan anggota polis berkenaan bertindak secara agresif ketika menahan Floyd.

Dalam video itu, Floyd dilihat merayu kepada pihak polis yang bertindak melutut atas lehernya sehingga tidak boleh bernafas. - AGENSI

Berita Harian X