Sabtu, 30 Mei 2020 | 8:48am
Penunjuk perasaan membantah insiden kematian George Floyd di Minneapolis. - FOTO AFP
Penunjuk perasaan membantah insiden kematian George Floyd di Minneapolis. - FOTO AFP

Datuk Bandar Minneapolis isytihar darurat

MINNEAPOLIS: Datuk Bandar Minneapolis mengisytiharkan darurat di bandar ini, semalam, susulan rusuhan oleh penunjuk perasaan selama tiga malam untuk membantah insiden kematian seorang lelaki Afrika-Amerika yang tidak bersenjata ketika ditahan polis.

Menurut laporan AFP, dalam pelaksanaan perintah berkurung ketat itu, Datuk Bandar Jacob Frey mengarahkan tiada sesiapa dibenarkan berada di jalan raya mulai jam 8 malam hingga 6 pagi, kecuali pihak berkuasa, anggota bomba, petugas perubatan dan pasukan pengawal kebangsaan yang dikerahkan untuk menjaga keamanan.

Pegawai polis terbabit insiden kematian George Floyd, 46, dengan menekankan lututnya pada leher mangsa ketika menahan lelaki itu, telah ditangkap dan didakwa atas kesalahan membunuh, semalam.

Sementara itu, Bernama pula melaporkan bahawa menurut laporan agensi berita Xinhua yang memetik CBS News, sesiapa mengingkari arahan perintah berkurung berkenaan boleh didenda AS$1,000 atau penjara hingga 90 hari.

Pada hari sama, Datuk Bandar St Paul, Melvin Carter, turut menandatangani perintah darurat tempatan.

Gabenor Minnesota, Tim Walz, juga mengisytiharkan darurat, kelmarin. – Agensi

Berita Harian X