Khamis, 28 Mei 2020 | 1:43pm
Kakitangan perubatan melakukan ujian COVID-19 terhadap penumpang bot di teluk Melgaco di barat daya Marajo di Brazil berikutan peningkatan jangkitan dan kematian akibat virus itu. - Foto AFP
Kakitangan perubatan melakukan ujian COVID-19 terhadap penumpang bot di teluk Melgaco di barat daya Marajo di Brazil berikutan peningkatan jangkitan dan kematian akibat virus itu. - Foto AFP

Kematian COVID-19 Brazil melepasi 25,000 orang

RIO DE JANEIRO: Angka kematian akibat COVID-19 melepasi 25,000 semalam di Brazil ketika negara itu muncul sebagai pusat penularan terbaru wabak itu.

Kementerian Kesihatan mengesahkan 1,086 kes kematian baharu dalam tempoh 24 jam, kali kelima jumlah hariannya melepasi 1,000 kes sejak pandemik terbabit menular ke negara itu.

Ia meningkatkan angka kematian keseluruhan COVID-19 Brazil kepada 25, 598 orang.

Negara dengan 210 juta penduduk itu kini mengesahkan 411,821 kes positif COVID-19 dan berada di tangga kedua selepas Amerika Syarikat (AS).

Presidennya, Jair Bolsonaro, turut berdepan pelbagai kritikan berhubung caranya mengendalikan krisis kesihatan dan ekonomi itu.

Bandar raya Sao Paulo, yang juga pusat industri terbesar dan paling teruk terjejas akibat COVID-19 di negara itu, mengambil langkah melanjutkan perintah kawalan pergerakan sehingga 15 Jun ini.

Bagaimanapun, Gabenornya, Joao Doria mengumumkan pembukaan bandar raya itu secara berperingkat mulai 1 Jun ini berikutan tekanan ekonomi. - AFP

Berita Harian X