Khamis, 28 Mei 2020 | 12:00pm
Polis menyembur gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan membantah pembunuhan George Floyd di hadapan Third Police Precinct di Minneapolis, Minnesota. - Foto AFP
Polis menyembur gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan membantah pembunuhan George Floyd di hadapan Third Police Precinct di Minneapolis, Minnesota. - Foto AFP

Tunjuk perasaan di AS bantah kekejaman polis berterusan

MINNEAPOLIS: Penunjuk perasaan berhimpun pada malam kedua berturut-turut semalam bagi memprotes kematian seorang lelaki kulit hitam, George Floyd, apabila seorang anggota polis meletakkan lutut pada leher mangsa ketika menahannya.

Berikutan tunjuk perasaan itu, polis bertindak melakukan sekatan di sekitar Presint Tiga, iaitu lokasi anggota polis berkenaan didakwa membunuh mangsa.

Pihak polis turut memberi amaran supaya penunjuk perasaan segera berundur berikutan makin ramai menyertai perhimpunan.

Pada hari sebelumnya, polis menembak peluru getah dan gas pemedih mata ke arah ribuan penunjuk perasaan yang berang dengan kematian warga Afrika-Amerika di tangan polis Amerika Syarikat (AS) itu.

Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump, dalam ciapan di laman Twitter, menyifatkan kes kematian Floyd sebagai kejadian yang amat menyedihkan lagi tragik.

Kemarahan orang awam bertambah dengan tersebarnya video yang dirakam melalui telefon pintar pada Isnin lalu ketika mangsa berada dalam tahanan dan dikawal oleh empat anggota polis kulit putih.

Dalam video itu, anggota polis dilihat menekan Floyd dia tanah, dengan lutut salah seorang daripada mereka menekan tengkuk Floyd sehingga mangsa tidak bergerak lagi, malah terus terkulai apabila polis mengarahkannya menaiki kereta peronda.

Keempat-empat anggota polis berkenaan dipecat susulan kematian Floyd dan siasatan sedang dijalankan. - AFP

Berita Harian X