Rabu, 27 Mei 2020 | 10:06am
PERU catat peningkatan harian kes jangkitan COVID-19. (Foto/AFP)
PERU catat peningkatan harian kes jangkitan COVID-19. (Foto/AFP)

COVID-19: Peru catat hampir 5,800 kes baharu

LIMA: Peru mencatatkan hampir 5,800 kes baharu COVID-19, angka tertinggi dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan mencecah 130,000, menurut Menteri Kesihatannya.

Jumlah itu selepas Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika menyuarakan kebimbangannya terhadap peningkatan jangkitan di negara itu termasuk Chile dan Brazil

Kementerian Kesihatannya, berkata sebanyak 5,772 kes baharu disahkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan angka kumulatif kepada 129,751.

Sebanyak 3,780 kematian dicatatkan akibat COVID-19, sejak penularannya dikesan pada awal Mac lalu.

Presiden Martin Vizcarra, berkata bagaimanapun terdapat tanda keadaan bakal menjadi semakin baik.

"Peru sudah memasuki garis mendatar ini pada lekukan COVID-19 menunjukkan pandemik itu sudah menyebar.

"Lekukan masih belum rata, tidak teratur, namun trend menunjukkan ia beransur dan mula menurun," katanya.

Peru sudah memasuki hari ke-72 perintah berkurung, sekali gus melumpuhkan ekonominya.

Sistem kesihatan negara itu kini di ambang keruntuhan dan mengalami kekurangan peralatan yang drastik.

Hampir 70 peratus kes direkodkan berlaku di ibu negaranya, Lima dan pelabuhan Callao, yang menempatkan hampir 10 juta penduduk, iaitu satu pertiga populasi Peru.

Peru mempunyai angka kedua tertinggi kes di Amerika Latin selepas Brazil. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X