Sabtu, 23 Mei 2020 | 4:23pm

Lelaki bunuh bapa sedang mesyuarat melalui Zoom

NEW YORK: Sebuah kawasan pinggir bandar, di sini, dikejutkan dengan insiden pembunuhan ngeri apabila seorang lelaki menikam bapanya hingga mati ketika mangsa sedang menghadiri sidang video Zoom yang turut disertai kira-kira 20 orang.

Dalam kejadian tengah hari kelmarin, Dwight Powers, 72, sedang menyertai e-mesyuarat itu sebelum anaknya, Thomas Scully-Powers, 32, tiba-tiba muncul dan memukul mangsa, kata polis Suffolk County di Long Island.

Susulan itu, polis berkata, beberapa peserta sidang maya yang menyaksikan kejadian ngeri berkenaan menghubungi pihak berkuasa kecemasan untuk bantuan.

Selepas ditangkap, Scully-Powers memberitahu polis bahawa dia menikam bapanya kira-kira 15 kali di bahagian belakang, leher dan torso, malah sempat menukar pisau kerana bilahnya telah bengkok, menurut pihak pendakwa raya.

Pemeriksa perubatan county itu memaklumkan, Powers mempunyai kesan tikaman pada dada dan bahagian belakang badan dengan leher turut dikelar sehingga kepalanya hampir terpenggal.

Pembunuhan itu berlaku di Amityville yang namanya digunakan dalam siri buku seram dan filem berkaitan diterbitkan pada 1979.

"Ini adalah kes yang amat mengganggu dan mengejutkan. Berdasarkan pengakuan defendan sendiri, dia menikam bapanya bertubi-tubi dengan kejam sehingga pasti mangsa telah mati," kata peguam Daerah Suffolk, Timothy Sini, dalam satu kenyataan.

Setiba polis di tempat kejadian, suspek melompat dari tingkap tingkat dua untuk cuba melarikan diri.

Suspek berlari ke sebuah kedai dan dikatakan menuang soda ke atas dirinya untuk menghilangkan kesan darah.

Menurut polis, mereka kemudian berjaya memberkas suspek di kawasan berhampiran.

Polis turut menemui bukti di pangsapuri dikongsi Scully-Powers bersama bapanya, yang dilihat sebagai cubaan untuk membersihkan tempat kejadian, termasuk sebatang mop dan baldi di dalam bilik air dengan sehelai cadar berlumuran darah di dalam sebuah beg sampah.

Polis berkata, Scully-Powers dimasukkan sekejap ke hospital kerana mengalami kecederaan ringan akibat terjun dari tingkap, sebelum keluar semalam dan didakwa dengan pertuduhan membunuh.

Bagaimanapun, pihak pendakwa raya belum mendedahkan kemungkinan motif kes pembunuhan itu.

Scully-Powers akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 26 Mei ini.

Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara seumur hidup 25 tahun.

Suspek ada rekod lampau, antara lain membabitkan dakwaan pemilikan dadah dan kesalahan jenayah. - AFP

Berita Harian X