Jumaat, 22 Mei 2020 | 10:40am
LEBIH lima juta kes jangkitan COVID-19 di seluruh dunia. (Foto/AFP)
LEBIH lima juta kes jangkitan COVID-19 di seluruh dunia. (Foto/AFP)

COVID-19: Jangkitan lebih 5 juta di seluruh dunia

PARIS: Jangkitan COVID-19 di peringkat global semalam melepasi angka lima juta dengan peningkatan kes di Amerika Latin.

Setakat ini, korban akibat virus itu membabitkan 328,000 kematian selepas menyaksikan peningkatan kes sekali ganda hanya dalam tempoh sebulan.

Kebanyakan negara Eropah terjejas teruk dengan Amerika Latin muncul sebagai negara yang menyaksikan kes tertinggi selepas Brazil yang disenaraikan negara ketiga tertinggi dunia selepas AS dan Russia.

Peru, Mexico dan Chile juga merekodkan peningkatan kes berterusan dengan jururawat di Lima memberi amaran sistem kesihatannya boleh musnah selepas kematian dan kes meningkat tiga kali ganda sejak tiga minggu lalu.

Hospital umpama tempat pengebumian di mana mayat mangsa COVID-19 ada di mana-mana sahaja.

Presiden AS, Donald Trump mengakui dia menggunakan ubat anti-malaria biarpun kajian mendapati ubat itu tidak bermanfaat untuk COVID-19 dan mempunyai kesan sampingan.

Ketika kadar kematian harian tidak lagi menunjukkan peningkatan ketara, korban akibat virus itu melebihi tambahan 1,500 kematian dalam tempoh 24 jam lalu pada Rabu lalu, membawakan korban AS keseluruhan melebihi 93,400 orang.

Akibat pandemik itu, rakyat AS kehilangan 38.6 juta pekerjaan sejak pertengahan Mac lalu.

AS dan Beijing saling menyalahkan satu sama lain dengan AS mendakwa China bertanggungjawab mencetuskan virus maut itu ke seluruh dunia.

Biarpun Beijing dikritik hebat cara China mengendalikan virus itu, namun ia berjaya mengawal penularan kes dengan hampir tiada kes domestik dilaporkan lapor statistik rasminya.

Misalnya semalam, China mengadakan acara politik tahunan, Persidangan Politik Konsultatif Orang China (CPPCC) selepas lebih sebulan tertangguh akibat kebimbangan pandemik.

Sementara itu, di Denmark, negara itu menarik balik perintah berkurung dengan muzium dan zoo mula semalam, dan pegawai kesihatannya berkata penularan virus maut itu semakin perlahan.

Singapura pula menggunakan robot untuk mengawasi taman di bandar dan mengawal penjarakan sosial. - AFP.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X