Khamis, 21 Mei 2020 | 7:20am
TEDROS Adhanom Ghebreyesus. (Foto/AFP)
TEDROS Adhanom Ghebreyesus. (Foto/AFP)

WHO bimbang COVID-19 meningkat di negara miskin

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melahirkan rasa bimbang terhadap peningkatan kes COVID-19 di negara miskin dan penarikan semula perintah berkurung di sebilangan besar negara maju.

Pertubuhan kesihatan global itu berkata, sebanyak 106,000 jangkitan baharu COVID-19 sudah direkodkan dalam tempoh 24 jam, iaitu jumlah harian tertinggi sejak pandemik berkenaan bermula.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata perjuangan menghapuskan pandemik ini masih panjang.

"Kami amat bimbang dengan peningkatan kes di negara berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.

Ketua Program Kecemasan WHO, Dr Mike Ryan berkata, dunia akan mencecah angka tragik sebanyak 5 juta kes pada kadar segera.

WHO berdepan kecaman hebat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menuduh badan itu gagal menangani penularan COVID-19 dan hanya melebihkan China, iaitu lokasi asal virus terbabit.

Minggu ini, Trump mengancam untuk menarik diri dari terus menganggotai WHO, sekali gus menghentikan selamanya bantuan dana untuk mereka.

Tedros mengesahkan ada menerima surat daripada Trump, namun enggan mengulas lanjut. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X