Ahad, 17 Mei 2020 | 9:45am
Dua anggota suku kaum etnik Parque das Tribos meratapi kematian ketua puak Kokama, Chief Messias, 53, akibat COVID-19 di Manaus, Brazil. - Foto AFP
Dua anggota suku kaum etnik Parque das Tribos meratapi kematian ketua puak Kokama, Chief Messias, 53, akibat COVID-19 di Manaus, Brazil. - Foto AFP

Peru bina hospital di Amazon tangani wabak COVID-19

LIMA : Peru akan membina hospital di Amazon bagi menangani wabak COVID-19 yang semakin menular dalam kalangan penduduk kaum etnik di hutan berkenaan.

Badan Keselamatan Sosial Peru, EsSalud, berkata mereka menjangkakan hospital dengan kapasiti 100 katil itu akan beroperasi di Pucallpa, ibu negeri Ucayali, pedalaman Brazil dalam tempoh tiga minggu lagi.

"ESSalud akan membina hospital segera di Ucayali bagi merawat pesakit COVID-19," kata badan kerajaan itu dalam satu kenyataan kelmarin.

Masyarakat Amazon Peru kini berada dalam keadaan terdesak, dengan hospital di bandar terbesar, Iquitos, dipenuhi pesakit COVID-19, manakala rumah mayat tempatan gagal menangani lambakan kematian yang berlaku.

Jurucakap perkhidmatan keselamatan sosial, Federico Tong Hurtado. berkata pihak kerajaan akan mengerah 220 kakitangan perubatan ke Amazon.

"Kami sedang bertungkus lumus membekalkan perkhidmatan dan hospital untuk kegunaan masyarakat Amazon Peru, bagi menangani pandemik COVID-19," katanya.

Perdana Menteri, Gustavo Zeballos, berkata kerajaan akan memastikan bekalan oksigen dan peralatan perubatan penting lain selamat tiba di rantau berkenaan, sama ada menerusi laluan udara atau darat.

Jalan raya hampir tidak wujud di kawasan hutan belantara di Peru, dan sungai adalah penghubung utama untuk pengangkutan.

Kerajaan sehubungan itu berjanji akan menambah jumlah penerbangan bantuan dari Lima, bagi memastikan penghantaran bantuan dapat dilakukan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X