Rabu, 6 Mei 2020 | 3:06pm
Gambar dikeluarkan pihak berkuasa tempatan Villa El Salvador di Lima menunjukkan pelaksanaan kerja nyahcemar bagi mengekang penularan wabak COVID-19. - FOTO AFP
Gambar dikeluarkan pihak berkuasa tempatan Villa El Salvador di Lima menunjukkan pelaksanaan kerja nyahcemar bagi mengekang penularan wabak COVID-19. - FOTO AFP

COVID-19: Peru lantik ketua polis baharu ketiga dalam 10 hari

LIMA: Kerajaan Peru semalam melantik ketua polis baharu yang ketiga dalam tempoh hanya 10 hari, ketika siasatan dijalankan terhadap kes rasuah berhubung harga keterlaluan bekalan perubatan sewaktu krisis COVID-19.

Ketua baharu itu, Hector Loayza, dinaikkan pangkat kepada jeneral secara tergesa-gesa bagi membolehkan beliau melaksanakan tugas, dengan hampir keseluruhan barisan atasan polis yang disyaki.

Media tempatan mendakwa, kes itu membabitkan pembelian bernilai lebih dua juta dolar.

"Kita perlu mengambil keputusan segera kerana dalam situasi rumit ini, kita menerima maklumat yang menuntut keputusan tegas," kata Menteri Dalam Negeri, Gaston Rodriguez, tanpa memperincikan perubahan terbabit dengan lebih lanjut.

Siasatan pendakwa raya awam dilancarkan pada akhir bulan lalu susulan 15 aduan mengenai topeng muka, alkohol, sarung tangan dan bekalan lain didakwa dibeli pada harga berlebihan.

Loayza menggantikan Jeneral Max Iglesias yang hanya menyandang jawatan itu selama 10 hari selepas mengambil alihnya daripada Jose Lavalle.

Lavalle digantikan pada hari sama bekas Menteri Dalam Negeri, Carlos Moran, meletakkan jawatan secara mengejut, di mana kerajaan mendakwa ia tiada kena-mengena dengan skandal berkenaan.

Semalam, Rodriguez menegaskan, polis akan memberikan sepenuh kerjasama kepada semua pendakwa raya pencegahan rasuah yang terbabit dalam siasatan itu.

Satu program televisyen pula mendakwa, pembelian mencurigakan itu dilakukan perniagaan yang berkait dengan pasukan polis dan tiada sebarang pengalaman dalam sektor perubatan.

Menurut perangkaan Kementerian Dalam Negeri sejak 30 April lalu, sekurang-kurang 23 pegawai polis telah maut dengan 2,600 dijangkiti COVID-19 di Peru. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X