Ahad, 26 April 2020 | 4:05pm
Polis Peru bersama susupek warga China, Zhang Tianxing (kiri) yang ditahan kerana menggunakan kit ujian yang dicuri untuk melakukan pengesanan COVID-19 tanpa kebenaran di Lima. - Foto AFP
Polis Peru bersama susupek warga China, Zhang Tianxing (kiri) yang ditahan kerana menggunakan kit ujian yang dicuri untuk melakukan pengesanan COVID-19 tanpa kebenaran di Lima. - Foto AFP

17 anggota polis maut akibat COVID-19 di Peru

LIMA: Wabak COVID-19 di Peru setakat ini turut mengorbankan 17 anggota polis yang bertugas menguatkuasakan perintah berkurung di negara terbabit.

Media tempatan melaporkan, pihak berkuasa mengakui pada awal minggu ini bahawa sekurang-kurangnya 1,300 anggotanya dijangkiti wabak itu.

Menteri Dalam Negeri, Gaston Rodriguez, yang baharu mengangkat sumpah Jumaat lalu, mengesahkan angka itu dan memaklumkan 11 daripada kematian itu berlaku di Lima. Peru kini menjalani perintah berkurung sejak 16 Mac lalu.

Menurut agensi berita Andina, angka yang tinggi itu berkait dengan tahap pendedahan dihadapi pihak polis ketika menguatkuasa arahan perintah berkurung bagi membendung penularan COVID-19 terhadap individu yang ingkar.

Beliau berkata, jabatannya memperuntukkan 50 juta soles atau kira-kira $15 juta (RM65.4 juta) bagi membeli peralatan perlindungan seperti topeng dan sarung tangan bagi pihak polis.

"Kira-kira 220,000 kit ujian COVID-19 bagi pihak berkuasa dijangka diterima menjelang minggu pertama bulan depan.

"Kita bertanggungjawab bagi menjaga mereka. Jadi, polis mesti dilengkapi dengan baik," katanya.

Mengikut data Johns Hopkins University di Amerika Syarikat (AS), Peru kini merekodkan lebih 25,000 kes jangkitan COVID-19 dan 700 kematian.

Dalam perkembangan lain, polis Peru turut memaklumkan mengenai penahanan seorang warga China, Zhang Tianxing, kerana menggunakan kit ujian yang dicuri untuk melakukan pengesanan COVID-19 tanpa kebenaran di Lima - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X