Selasa, 14 April 2020 | 9:13am
WHO sedang melakukan penyelidikan berterusan mengenai virus COVID-19 secara global. - Foto Agensi
WHO sedang melakukan penyelidikan berterusan mengenai virus COVID-19 secara global. - Foto Agensi

Kematian COVID-19 10 kali ganda berbanding H1N1: WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan, kematian akibat COVID-19 adalah 10 kali ganda daripada wabak H1N1 yang pernah menyebabkan pandemik global pada 2009.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata keperluan vaksin amat diperlukan ketika ini bagi menghentikan penularan wabak itu.

Menurutnya, WHO sedang melakukan penyelidikan berterusan mengenai virus berkenaan secara global, yang sehingga kini menyebabkan kira-kira 115,000 kematian dan 1.8 juta jangkitan di seluruh dunia.

“Kami sedar COVID-19 tersebar pantas dan ia menyebabkan lebih daripada 10 kali ganda kematian daripada pandemik H1N1 pada 2009,” katanya dalam satu taklimat secara maya, hari ini.

WHO menyatakan pandemik H1N1 yang bermula di Mexico dan Amerika Syarikat pada Mac 2009 mengorbankan 18,500 orang.

Bagaimanapun, jurnal perubatan antarabangsa, Lancet menganggarkan statistik kematian keseluruhan jauh lebih tinggi iaitu di antara 151,700 sehingga 575,400 orang.

Kajian oleh Lancet ini merangkumi anggaran kematian di Afrika dan Asia Tenggara yang tidak termasuk dalam jumlah pengiraan keseluruhan oleh WHO.

Wabak H1N1 yang diisytiharkan sebagai pandemik global pada Jun 2009, dan dianggap berakhir pada Ogos 2010, tidak begitu menakutkan berbanding COVID-19.

Ini berikutan terdapat vaksin khusus bagi mengatasi penularannya.

Bagaimanapun, WHO dikritik ketika itu kerana dikatakan memberikan reaksi keterlaluan berkaitan epidemik influenza berkenaan yang membunuh di antara 250,000 hingga 500,000 orang setiap tahun.

Tedros turut bersimpati dengan beberapa negara dunia yang menyaksikan peningkatan dua kali ganda kes COVID-19 dalam tempoh tiga hingga empat hari lalu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, wabak itu boleh diperangi sekiranya setiap negara komited melaksanakan kajian awal bagi setiap kes, melaksanakan pengasingan dan mengambil berat serta mengesan setiap kontak yang mungkin boleh menyumbang kepada peningkatan kes.

Setakat ini, lebih separuh daripada penduduk dunia berada di rumah masing-masing sebagai langkah menghentikan rantaian penularan wabak.

Tedros turut memberikan amaran perhubungan manusia secara global boleh menjadi risiko untuk pandemik wabak ini kembali menular dan berterusan.

Beliau turut mengingatkan COVID-19 tersebar dengan amat cepat, tetapi angka penurunannya agak sedikit perlahan.

“Maksudnya, kes COVID-19 menunjukkan lebih banyak peningkatan daripada penurunan.

“Justeru, langkah pengawalan yang ketat perlu diteruskan termasuk dengan melakukan pengesanan kontak dalam kapasiti yang besar,” katanya.

Beliau turut berkata, WHO sangat menghargai usaha banyak pihak bagi mencari penawar atau vaksin bagi merawat wabak ini.

Menurutnya, dijangkakan vaksin COVID-19 dapat digunakan sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 hingga 18 bulan lagi. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X