Isnin, 13 April 2020 | 8:55am
Polis menahan Zhang (kanan) kerana melakukan ujian pantas COVID-19 secara haram menggunakan kit yang dicurinya. - FOTO AFP/POLIS NASIONAL PERU
Polis menahan Zhang (kanan) kerana melakukan ujian pantas COVID-19 secara haram menggunakan kit yang dicurinya. - FOTO AFP/POLIS NASIONAL PERU

COVID-19: Polis tahan lelaki jalankan ujian haram guna kit curi

LIMA: Polis menahan seorang lelaki warga China, semalam, kerana melakukan ujian pantas COVID-19 secara haram ke atas orang awam dengan menggunakan kit baharu yang dicuri daripada Kementerian Kesihatan Peru.

Tianxing Zhang, 36, ditahan di daerah Brena di Lima ketika mahu mengambil sampel daripada dua wanita di muka pintu kediaman mereka, kata polis.

Menurut satu kenyataan polis, lelaki itu sedang menjalankan ujian pantas COVID-19 menggunakan peralatan dicuri daripada pihak berkuasa Lima Sur di mana dia bekerja.

Ketika ditahan polis keselamatan, Zhang sedang memakai topeng muka dan apron perubatan berwarna biru muda.

Kedua-dua wanita terbabit telah membayar Zhang untuk melakukan ujian pantas itu, tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan.

“Apabila disoal siasat, dia mengaku tiada diberi kuasa melakukan ujian pantas itu dan peralatan Ujian Diagnostik Pantas berkenaan dicuri dari Direktorat Rangkaian Kesihatan Bersepadu Lima Sur di mana dia bekerja,” kata polis.

Menurut polis lagi, Zhang yang bercermin mata juga mengaku mencuri dua kelompok kit ujian berkenaan untuk digunakan pada orang yang mengesyaki diri mereka dijangkiti wabak itu, atas tujuan mendapatkan wang.

Selain itu, polis menemui sebuah beg mengandungi 25 kit ujian COVID-19 dan bekalan perubatan lain di rumahnya.

Rabu lalu, Presiden Martin Vizcarra berkata, penghantaran sejumlah 330,000 kit ujian pantas sudah tiba di Peru dan diedarkan ke seluruh negara ini.

Kementerian Kesihatan melaporkan, pihaknya sudah menjalankan 45,272 ujian pantas, setakat semalam.

Hingga kini, negara Amerika Selatan ini telah mendaftarkan sebanyak 7,519 kes jangkitan dengan 193 kematian akibat COVID-19. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X