Ahad, 12 April 2020 | 8:25am
AS terus bergelut dengan kes kematian pesakit COVID-19 yang kini melepasi angka mengerikan 20,000 mangsa. - FOTO AFP
AS terus bergelut dengan kes kematian pesakit COVID-19 yang kini melepasi angka mengerikan 20,000 mangsa. - FOTO AFP
Tentera AS memerhatikan gelandangan di dalam tempat perlindungan kecemasan di Taman Martin Luther King Jr untuk mencegah penyebaran Coronavirus COVID-19 di Long Beach, California. - Foto AFP
Tentera AS memerhatikan gelandangan di dalam tempat perlindungan kecemasan di Taman Martin Luther King Jr untuk mencegah penyebaran Coronavirus COVID-19 di Long Beach, California. - Foto AFP
Pekerja kesihatan membawa pesakit yang disyaki menghidap jangkitan coronavirus ke ambulans di kawasan Brooklyn, New York City. - Foto AFP
Pekerja kesihatan membawa pesakit yang disyaki menghidap jangkitan coronavirus ke ambulans di kawasan Brooklyn, New York City. - Foto AFP

COVID-19: Korban di AS melepasi angka mengerikan 20,000

NEW YORK: Korban COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) melepasi angka mengerikan 20,000, semalam, ketika ramai meraikan cuti Easter pada hujung minggu dengan berkurung di rumah.

AS merekodkan 1,920 kematian dalam tempoh 24 jam lalu yang bagaimanapun menurun berbanding 2,108 pada hari sebelumnya, menurut satu penjumlahan oleh Universiti Johns Hopkins yang berpangkalan di Baltimore.

Setakat ini, wabak itu meragut sekurang-kurang 20,506 nyawa di AS yang kini paling terkesan di dunia dari kedua-dua segi jumlah kematian dan kes jangkitan disahkan.

Berdasarkan penjumlahan universiti itu lagi, jangkitan disahkan di AS telah mencecah 527,111 kes.

Gereja dijangka kosong pada sambutan Easter, hari ini, susulan lebih dua bilion penganut Kristian di dunia sedang berkurung bagi menyekat penularan COVID-19 yang telah menjangkiti 1.7 juta orang dan meragut lebih 100,000 nyawa.

Itali yang muncul negara paling terjejas di Eropah dengan populasi berjumlah satu per lima daripada AS, turut menghampiri angka menggerunkan apabila mencatat 19,468 kematian, setakat ini.

Namun, harapan mulai berbunga di Eropah Barat dan kawasan terkesan teruk di AS bahawa pandemik itu sedang memuncak, dengan ramai bersandarkan perkembangan di Wuhan yang kini menarik balik arahan berkurung dan kembali menjalani kehidupan normal.

Malah, beberapa negara paling terjejas di Eropah serta pusat jangkitan di AS, iaitu New York dan New Orleans, mulai menunjukkan penurunan kadar jangkitan.

Sepanyol mencatatkan 510 kematian baharu, semalam, sekali gus menyaksikan penurunan angka selama tiga hari berturut-turut.

Perancis melaporkan 635 kematian baharu, semalam, juga menurun sebanyak satu per tiga berbanding kelmarin.

Pegawai kesihatan Perancis, Jerome Salomon, berkata walaupun mencapai kadar mendatar, wabak itu masih sangat aktif.

“Kita mesti kekal berjaga-jaga,” katanya.

Angka harian kematian di Itali juga mulai menurun, namun kerajaan menolak desakan untuk menarik balik perintah berkurung, malah melanjutkan tempoh pelaksanaannya hingga 3 Mei depan.

Britain sebaliknya merekodkan angka harian kematian kedua tertinggi, semalam.

Menurut seorang jurucakap, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson yang turut dijangkiti penyakit terbabit bagaimanapun menunjukkan ‘perkembangan amat baik’ selepas keluar dari unit rawatan rapi.

Di New York dan New Orleans, penurunan kes baharu jangkitan, kematian serta pesakit memasuki wad, memberi sinar harapan berhubung krisis itu.

Namun, Datuk Bandar New York, Bill de Blasio, dan Gabenor, Andrew Cuomo, bercanggah pendapat mengenai pembukaan semula sekolah di bandar itu.

De Blasio mengumumkan bahawa bilik darjah akan terus ditutup hingga sesi persekolahan bermula pada September depan tetapi Cuomo menegaskan, perkara itu bukan terletak bawah keputusan Datuk Bandar.

“Kita mungkin mengambil tindakan sedemikian, namun kita akan melakukannya secara selaras dengan kawasan lain,” kata Cuomo yang mendakwa mempunyai kuasa berhubung perkara berkenaan.

Dalam pada itu, ramai pakar dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan supaya tidak terlalu cepat menarik balik pelaksanaan langkah berkurung.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberi amaran bahawa tindakan yang diambil sebelum waktunya boleh mengakibatkan penularan semula wabak itu secara dahsyat.

Di penempatan sesak seperti Mexico City, Nairobi dan Mumbai serta kawasan konflik di Asia Barat, timbul kebimbangan bahawa keadaan paling teruk bakal melanda lokasi termiskin di dunia.

Begitupun, Presiden Donald Trump, dilaporkan berkata wabak berkenaan sedang menghampiri kemuncak di AS dan beliau kini mempertimbangkan langkah untuk ‘membuka semula’ negara ekonomi terbesar dunia itu dengan secepat mungkin.

“Namun, tahukah anda? Berkurung di rumah juga membawa kepada kematian,” kata Trump. - AFP


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X