Ahad, 5 April 2020 | 12:55pm

COVID-19: AS bakal berdepan angka kematian 'sangat mengerikan' - Trump

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi amaran kepada rakyat negara ini untuk berdepan angka kematian ‘sangat mengerikan’ akibat wabak COVID-19 pada hari mendatang ketika jumlah korban di seluruh dunia kini melepasi 60,000 mangsa.

Jumlah kes jangkitan disahkan di AS melangkaui 300,000, semalam, namun Eropah masih paling terkesan dengan pandemik berkenaan yang menyebabkan kira-kira separuh penduduk dunia berkurung dan ekonomi global menanggung kerugian besar.

Lebih 45,000 kematian global dicatatkan di Eropah dengan Britain melaporkan rekod baharu angka korban harian yang menjadikan jumlahnya mencecah 4,300, setakat ini

Ketika ini, lebih 1.2 juta kes jangkitan disahkan di seluruh dunia dengan kira-kira 65,000 nyawa terkorban, menurut penjumlahan Universiti John Hopkins.

Trump berkata, AS sedang memasuki ‘suatu masa yang akan sangat mengerikan’ dengan ‘angka benar-benar teruk’.

“Ini mungkin adalah minggu yang paling mencabar. Banyak kematian akan berlaku,” katanya di Rumah Putih.

Bagaimanapun pada masa sama, beliau menegaskan, AS tidak boleh kekal ‘tutup’ selama-lamanya.

“Mitigasi berfungsi tetapi sekali lagi, kita tidak akan memusnahkan negara kita.

“Saya sudah katakan dari permulaan lagi - penawar tidak boleh lebih teruk daripada masalah,” katanya.

Ancaman susulan perhimpunan beramai-ramai sekali lagi menjadi perhatian, hujung minggu ini, yang menyaksikan pihak berkuasa di Pakistan sedang giat berusaha mengesan dan kuarantin puluhan ribu orang yang menghadiri satu acara agama besar-besaran pada bulan lalu.

Lebih 150 individu yang menghadiri acara itu telah disahkan positif dengan dua kematian, setakat ini.

Warga asing dari beberapa negara lain turut menghadiri acara itu yang diteruskan walaupun kerajaan sudah meminta ia dibatalkan bagi mengelakkan penularan COVID-19.

Bagaimanapun di Eropah, Itali yang paling terkesan dengan wabak itu mencatatkan penurunan kes jagaan intensif virus berkenaan untuk kali pertama kepada 3,994, semalam, berbanding 4,068 kelmarin.

“Ini adalah titik data yang sangat penting,” kata Ketua Perkhidmatan Perlindungan Awam, Angelo Borrelli, sambil menambah bahawa ia ‘memberikan ruang untuk hospital kita bernafas’.

Angka harian untuk kes jangkitan di seluruh Itali juga semakin perlahan di mana 681 kematian baharu dilaporkan, semalam, menurun berbanding hampir 1,000 kira-kira seminggu lalu.

Sepanyol yang melaksanakan perintah berkurung di hampir seluruh negara itu, turut melaporkan penurunan angka kematian selama dua hari berturut-turut.

Negara itu mencatatkan 809 korban, menjadikan jumlahnya kini mencecah 11,947, iaitu kedua tertinggi selepas Itali. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X