Sabtu, 28 March 2020 | 7:52am
Petugas kesihatan di khemah untuk menguji pesakit COVID-19, di Hospital Elmhurst, di Queens, New York City. - Foto Reuters
Petugas kesihatan di khemah untuk menguji pesakit COVID-19, di Hospital Elmhurst, di Queens, New York City. - Foto Reuters

COVID-19: China tawar bantuan kepada Trump

WUHAN: China menyatakan kesediaan membantu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menangani COVID-19.

Pada masa sama, Presiden China, Xi Jinping mengumumkan bandar Wuhan yang menjadi punca penularan coronavirus itu, sekali gus pusat wabak dibuka semula untuk lalu-lintas trafiknya.

AS ketika ini adalah negara tertinggi merekodkan jumlah kes dengan mencatatkan hampir 85,000 jangkitan dengan hospital di New York dan New Orleans sedang menghadapi penerimaan pesakit yang tinggi.

Dalam pada itu, Trump berkata China berkongsi pengalaman negaranya menangani COVID-19 dan mengakui banyak perkara dipelajari dari negara itu.

"Melalui panggilan telefon, kami banyak bercakap mengenai pengalaman negara itu dan apa yang sudah dilakukan China dan usaha mereka membuahkan hasil. Kami mencapai kesepakatan yang baik," kata Trump kepada media.

Sementara itu, Xi menawarkan bantuan kepada Washington berhubung pelbagai isu termasuk pandemik, meskipun sebelum ini Trump dan pemimpin AS lain menuduh Beijing tidak telus dalam menyampaikan maklumat mengenai COVID-19 selain mendakwa ia adalah 'virus China' berikutan ia mula merebak dari negara itu.

Bagaimanapun, seperti didedahkan Kementerian Luar China, Xi mengulangi kesediaannya membantu AS.

Wuhan yang menjadi punca penularan coronavirus, kini mula dibuka kepada lalu-lintas mulai semalam selepas lebih dua bulan diletakkan di bawah perintah berkurung, bagaimanapun kereta tidak dibenarkan keluar daripada bandar itu.

Rabu lalu, Hubei juga membuka semula halangan sempadan namun tidak kepada Wuhan, yang hanya membenarkan rakyatnya meninggalkan bandar itu mulai 8 April ini.

Malam tadi, tiga lorong laluan dibuka di kaunter pemeriksaan dengan ada tentera di setiap lorong bagi memeriksa tahap kesihatan.

China pula mengambil langkah mengurangkan jumlah penerbangan antarabangsa berikutan ketika tiada pertambahan kes domestik, kes import direkodkan.

Sehingga kelmarin, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan memaklumkan 55 kes dicatatkan berbanding hari sebelumnya 67 sehari menjadikan keseluruhan 81,340 kes dengan 3,292 kematian.

Kes import di Shanghai seramai 17 kes, Guangdong (12) dan masing-masing empat kes di Beijing dan Tianjin. Ketika ini Shanghai merekodkan 125 pesakit dengan 46 dari Britain dan 27 dari AS.

Bermula esok, hanya satu penerbangan ke mana-mana negara iaitu hanya satu penerbangan dalam seminggu. - Reuters

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X