Khamis, 26 March 2020 | 5:03pm
Seorang penduduk membasuh tangannya selepas pulang dari kedai runcit di New York sebagai langkah mencegah penularan COVID-19. - REUTERS
Seorang penduduk membasuh tangannya selepas pulang dari kedai runcit di New York sebagai langkah mencegah penularan COVID-19. - REUTERS

COVID-19: New York tunjuk tanda tentatif perlahankan penularan

NEW YORK: New York yang paling terkesan dengan wabak COVID-19 di Amerika Syarikat (AS), mula menunjukkan tanda tentatif memperlahankan penularan penyakit itu, kata Gabenor Andrew Cuomo, semalam.

Bagaimanapun pada masa sama, krisis kesihatan akibat virus berkenaan semakin buruk di New Orleans dan tempat lain.

Cuomo berkata, kadar kemasukan ke hospital berkurangan dalam beberapa hari kebelakangan ini yang disifatkannya sebagai ‘hampir terlalu bagus untuk menjadi kenyataan’, namun memberikan amaran bahawa masih ada banyak usaha perlu dilakukan.

Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan pula memaklumkan, New York, Carolina Utara dan Hawaii telah meminta bantuan pasukan pengurusan mayat khas yang boleh digerakkan untuk pengendalian kes kematian besar-besaran.

New Orleans yang menyaksikan orang ramai berhimpun meraikan Mardi Gras, sebulan lalu, dilihat bakal menjadi pusat wabak seterusnya di AS dengan Pantai Teluk Louisiana mencatatkan peningkatan kes COVID-19 tertinggi di dunia.

Cuomo mengumumkan langkah ‘kawalan kepadatan’ baharu dengan New York City yang mempunyai lebih lapan juta penduduk, menutup laluan awam kepada kenderaan dan membukanya kepada pejalan kaki untuk membolehkan lebih penjarakan sosial bertujuan mengelakkan jangkitan COVID-19.

Beliau berkata, bandar raya itu juga akan menyekat bola keranjang dan sukan kontak lain di taman awam, sambil menggesa orang ramai mematuhi usaha penjarakan sosial itu secara sukarela.

Sekurang-kurang 60,000 orang didiagnosis dengan COVID-19 di AS, termasuk lebih 900 kes kematian.

Cuomo berkata, lebih 30,800 orang disahkan positif virus itu di negeri ini di mana New York City mencatatkan lebih 17,800 daripada keseluruhan kes berkenaan.

Negeri ini yang telah melaporkan 285 kematian, ialah antara paling awal menutup perniagaan tidak penting dan mengarahkan penduduk berada di dalam rumah sebanyak mungkin.

Setakat semalam, gabenor di sekurang-kurang 20 negeri yang mewakili lebih daripada separuh populasi 330 juta penduduk di AS, melaksanakan sekatan seumpama itu untuk membendung penularan COVID-19. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X