Selasa, 24 March 2020 | 5:30pm
Kapal persiaran yang membawa lebih 1,800 penumpang dengan simptom selesema disekat daripada berlabuh di Chile. Gambar hiasan AFP.
Kapal persiaran yang membawa lebih 1,800 penumpang dengan simptom selesema disekat daripada berlabuh di Chile. Gambar hiasan AFP.

COVID-19: Chile sekat kapal persiaran bawa penumpang sakit

SANTIAGO: Kapal persiaran yang membawa lebih 1,800 penumpang dengan 42 daripadanya mempunyai simptom selesema disekat daripada berlabuh di Chile, semalam susulan kebimbangan terhadap wabak COVID-19.

Chile menutup laluan darat, air dan sempadan lautnya sejak 18 Mac lalu memandangkan negara di Amerika Selatan mencatatkan 746 kes positif COVID-19 dengan dua kematian.

Kapal milik kumpulan Holland America itu sedang mencari tempat untuk berlabuh bagi menempatkan semua penumpangnya yang sakit, sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi terakhirnya di Fort Launderdale, Florida melalui Terusan Panama.

Kapal berkenaan berlabuh dari Buenos Aires pada 7 Mac lalu.

Holland America dalam satu kenyataan berkata, 13 penumpang dan 29 krew kapal berkenaan didapati sakit.

“Memandangkan sekarang musim selesema dan kit ujian COVID-19 pula tidak terdapat di atas kapal, sukar untuk menentukan sama ada individu ini dijangkiti wabak berkenaan atau sebaliknya,” katanya.

Holland America turut berkata, mereka akan mengikut saranan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat dengan melakukan kaedah kuarantin terhadap individu yang sakit dan kontak rapat mereka.

Seorang penumpang, Gurvan Le Pavec memberitahu AFP, ratusan daripada penumpang kapal berkenaan ialah warga Perancis dan situasi di atas kapal juga semakin tegang.

“Sejak 15 Mac lalu, kapal berkenaan berada di pantai Chile, tetapi tidak diketahui ke mana arah tujunya.

“Mereka mencuba pelbagai pilihan tetapi tanpa ada destinasi khusus,” katanya.

Sejak kes pertama yang disyaki positif COVID-19 Ahad lalu, penumpang ditempatkan di kabin masing-masing dengan makanan diletakkan di depan pintu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X