Selasa, 24 March 2020 | 1:18pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Lelaki Arizona maut lepas makan 'ubat' COVID-19

ARIZONA: Seorang lelaki maut dan isterinya kritikal selepas memakan chloroquine fosfat, sejenis bahan pencuci akuarium yang namanya mirip kepada nama ubat disyorkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk rawatan COVID-19.

Menurut Banner Health Hospital di Phoenix, pasangan berusia 60an itu mengalami masalah kesihatan sebaik memakan ubat pencuci akuarium itu.

Chloroquine fosfat berkongsi kandungan aktif yang sama seperti ubat malaria yang disyorkan Trump sebagai mungkin berkesan bagi menentang COVID-19.

Sabtu lalu, Trump, dalam ciapannya di Twitter, berkata gabungan ubat hydroxychloroquine dan azithromycin ‘berpotensi membawa perubahan besar dan sejarah perubatan’.

Banner Health Hospital, dalam satu kenyataan, berkata chloroquine adalah ubat malaria dan tidak sepatutnya dimakan bagi merawat atau mencegah coronavirus ini.

Coronavirus baharu yang menyebabkan pandemik COVID-19 itu mula muncul di Wuhan Disember lalu dan merebak ke serata dunia.

Buat masa sekarang, tiada vaksin atau rawatan khusus bagi mengubati penyakit itu tetapi beberapa pihak sedang melakukan kajian mengenai ubat yang sesuai manakala pesakit kini hanya menerima rawatan sokongan.

Pengarah Perubatan Pusat Racun dan Maklumat Perubatan Banner, Dr Daniel Brooks, berkata ramai orang sedang cuba mencari jalan merawat atau mencegah penyakit akibat COVID-19 tetapi janganlah sampai merumus rawatan sendiri.

Beliau turut menggesa sektor perubatan supaya jangan memberikan ubat berasaskan chloroquine kepada pesakit yang tidak dimasukkan ke hospital.

“Kita tidak mahu wad kecemasan kita dibebani pula dengan kes pesakit yang mencuba rawatan sendiri tanpa menyedari ia mungkin boleh membunuh,” katanya. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X