Selasa, 24 March 2020 | 7:40am
Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo (kiri) mengadakan rundingan dengan Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani di kabul. - Foto AFP
Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo (kiri) mengadakan rundingan dengan Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani di kabul. - Foto AFP

AS batalkan bantuan RM4.4 bilion kepada Afghanistan

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) membatalkan bantuan AS$ 1 bilion (RM4.4 bilion) kepada Afghanistan berikutan kemelut perebutan jawatan presiden di negara itu.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, mengeluarkan kenyataan itu selepas mengadakan rundingan dengan Presiden Ashraf Ghani dan seterunya, Abdullah Abdullah, di Kabul.

Katanya, beliau kecewa kerana Afghanistan masih gagal membentuk kerajaan yang inklusif, sekali gus memaksa tindakan membatalkan bantuan terbabit.

“AS kecewa dengan mereka kerana perlakuan mereka menjejaskan kepentingan bersama dan kepercayaan yang diletakkan terhadap kerajaan baharu itu.

“Kegagalan mereka memberi kesan kepada hubungan AS-Afghanistan dan mencemari perjuangan rakyat Afghanistan, AS dan rakan bersekutu yang berkorban nyawa serta harta bagi membangunkan semula Afghanistan,” katanya.

Tambah Pompeo, AS dengan serta merta akan mengurangkan bantuan AS$ bilion (RM4.4 bilion) dan menarik balik AS$1 bilion (RM4.4 bilion) yang dijanjikan untuk tahun depan.

Selain itu, AS juga akan mempertimbangkan pengurangan lain termasuk membatalkan sokongan kewangan pada masa depan.

Pompeo mengeluarkan kenyataan itu ketika dalam perjalanan pulang dari Qatar bagi mengadakan perbincangan peringkat tertinggi antara AS dengan pejuang Taliban.

Seorang Duta AS berkata Washington akan meneruskan tindakan mengundurkan tenteranya dari Afghanistan seperti mana yang dipersetujui pada 29 Februari lalu dalam rundingan dengan Taliban. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X