Ahad, 15 March 2020 | 2:01pm
Kementerian Kesihatan Chile kuarantin kapal persiaran 'Silver explorer' susulan seorang warga emas British disahkan positif COVID-19. - Foto Reuters
Kementerian Kesihatan Chile kuarantin kapal persiaran 'Silver explorer' susulan seorang warga emas British disahkan positif COVID-19. - Foto Reuters

Chile kuarantin lebih 1,300 orang atas 2 kapal persiaran

SANTIAGO: Kementerian Kesihatan Chile semalam mengumumkan lebih 1,300 orang di atas dua kapal persiaran, dikuarantin susulan seorang warga emas British disahkan positif COVID-19.

Lelaki berusia 85 tahun itu mengalami simptom jangkitan virus berkenaan selepas turun dari kapal Silver Explorer di pelabuhan selatan Caleta Tortel yang terletak kira-kira 2,400 kilometer dari Santiago.

Beliau kemudian dipindahkan ke sebuah hospital di bandar Coyhaique dan disahkan positif COVID-19.

Menteri Kesihatan Chile, Jaime Manalich, berkata kapal terbabit dikuarantin di pelabuhan Castro.

“Warga British itu berada dalam keadaan baik, namun disahkan positif coronavirus,” katanya pada sidang media.

Sebuah lagi kapal terbabit, Azmara Pursuit yang membawa 665 penumpang dengan hampir 400 kru, memasuki perairan Chile dari pelabuhan Ushuaia di selatan Argentina.

Manalich berkata, kapal itu berada berdekatan pelabuhan Chacabuco selepas pihak berkuasa melarang ia menurunkan penumpang di situ, atas alasan membawa kes disyaki COVID-19.

Kapal persiaran itu sedang dalam pelayaran selama 21 hari dari Buenos Aires ke Callao, Peru.

Jumlah kes COVID-19 di Chile mencecah angka 61, setakat semalam, meningkat 18 jangkitan berbanding kelmarin.

Manalich menjelaskan, Chile kini berada dalam fasa ketiga krisis terbabit, sekali gus bermakna selain individu dijangkiti COVID-19 yang masuk dari luar negara, berkemungkinan turut ada kes tempatan.

“Ini bermaksud, terdapat situasi lebih rumit dari sudut epidemiologikal dalam mengawal penyakit berkenaan,” katanya.

Dalam usaha mengekang penularan COVID-19, Chile melarang penganjuran acara membabitkan lebih 500 orang, mengesyorkan bekerja dari rumah, dan mengarahkan kuarantin ke atas 2,600 pelajar sebuah sekolah swasta elit di Santiago.

Dalam perkembangan lain di sekitar Amerika Latin, Colombia mengusir dua warga Perancis dan dua warga Sepanyol kerana melanggar peraturan kuarantin untuk COVID-19.

Menurut pegawai imigresen, kedua-dua pasangan terbabit secara berasingan melakukan perjalanan pelancong yang melanggar sekatan dikenakan ke atas pelawat dari negara paling terkesan.

Ecuador pula mengumumkan penutupan sempadannya kepada warga asing selepas negara itu merekodkan kematian kedua akibat COVID-19.

Setakat semalam, Amerika Latin merekodkan enam kematian dan 430 kes jangkitan virus berkenaan. - AFP

Berita Harian X