Rabu, 11 March 2020 | 12:54pm
Menteri Kesihatan Panama Rosario Turner (tiga dari kanan) bercakap kepada wartawan semasa sidang akhbar dimana dia mengumumkan kes pertama coronavirus novel, COVID-19, di Bandar Panama. - Foto AFP
Menteri Kesihatan Panama Rosario Turner (tiga dari kanan) bercakap kepada wartawan semasa sidang akhbar dimana dia mengumumkan kes pertama coronavirus novel, COVID-19, di Bandar Panama. - Foto AFP

Panama catat 8 kes baharu COVID-19, umum kematian pertama

PANAMA CITY : Menteri Kesihatan Panama semalam mengesahkan kewujudan lapan kes terbaru wabak COVID-19 di negara itu, termasuk kematian pertama di Amerika Tengah.

“Daripada lapan pesakit yang dirawat, seorang berada di unit rawatan rapi manakala seorang lagi meninggal dunia,” kata menteri berkenaan, Rosario Turner pada satu sidang media di Panama City.

Menurut kementerian itu, pesakit, seorang lelaki berusia 64 tahun yang turut mengalami komplikasi kencing manis dan pneumonia, meninggal dunia akibat virus berkenaan Ahad lalu.

Turner berkata, pesakit ialah pengarah sebuah sekolah dan dua daripada kes dilaporkan turut memiliki kaitan dengan beliau.

Baki tujuh kes lain yang disahkan positif terdiri daripada individu berusia antara 29 hingga 59 tahun dan memiliki sejarah lawatan ke luar negara, kecuali seorang.

Panama ialah negara kedua di Amerika Tengah yang mencatatkan kes COVID-19 selepas Costa Rica dengan 13 kes, termasuk tiga rakyat Amerika Syarikat (AS).

Susulan penularan, kerajaan bertindak mengarahkan penutupan sekolah umum dan swasta sehingga 7 April depan di kawasan berpotensi. - AFP

Berita Harian X