Isnin, 24 Februari 2020 | 2:53pm
Polis menyembur meriam air terhadap penunjuk perasaan di Santiago. - Foto AFP
Polis menyembur meriam air terhadap penunjuk perasaan di Santiago. - Foto AFP

Ribuan penunjuk perasaan jejas festival muzik terbesar

SANTIAGO: Ribuan penunjuk perasaan bersenjatakan batu, kayu dan molotov cocktail, bertempur dengan polis ketika pembukaan festival muzik terbesar Amerika Latin, di sini, semalam.

Ia adalah kejadian terbaru daripada gelombang kemarahan akar umbi yang tercetus sejak empat bulan lalu terhadap ketidaksaksamaan ekonomi serta pelbagai keluhan lain.

Polis menghalang pintu masuk sebuah taman di mana festival muzik itu diadakan di sebuah resort tepi laut, kira-kira 120 kilometer barat Santiago.

Pihak berkuasa menggunakan sebuah helikopter dan belon dilengkapi kamera untuk pemantauan, selain menyuraikan penunjuk perasaan dengan semburan meriam air serta gas pemedih mata.

“Pelaku musnah dan penjenayah cuba membuat kerosakan hanya kira-kira empat blok dari pintu masuk ke festival itu. Bagaimanapun, semua adalah terkawal,” kata Gabenor Serantau Valparaiso, Jorge Martinez, kepada saluran berita 24 jam.

Selepas gagal memasuki kawasan festival, penunjuk perasaan menyerang kedai berdekatan dan hotel terkenal, Hotel O’Higgins yang lazimnya menjadi tumpuan penginapan ramai artis festival.

Gas pemedih mata menyelubungi hotel sehingga memaksa ramai tetamu meninggalkan tempat berkenaan. Penunjuk perasaan juga membakar sekurang-kurang tujuh kenderaan.

Sejak pihak berkuasa mengumumkan kenaikan tambang metro di ibu kota Santiago pada 18 Oktober lalu, lebih 30 orang maut dalam tunjuk perasaan membantah ketidaksaksamaan ekonomi dan sosial serta penolakan terhadap Presiden Sebastian Pinera dan pentadbirannya. - AFP

Berita Harian X