Isnin, 13 Januari 2020 | 11:58pm
Joaquin Phoenix dianugerah pelakon terbaik menerusi filem ‘Joker’. - Foto Reuters
Joaquin Phoenix dianugerah pelakon terbaik menerusi filem ‘Joker’. - Foto Reuters

'Joker' kuasai pencalonan Oscar

LOS ANGELES: Filem adaptasi komik ‘Joker’ menguasai pencalonan Oscar menerusi 11 kategori termasuk filem terbaik dan pengarah terbaik, namun sekali lagi pengarah wanita dan etnik minoriti diketepikan.

Pengumuman pencalonan Anugerah Akademi mengakhiri kempen golongan ternama dan studio yang saling meneka bintang serta filem manakah bakal membolot anugerah utama Hollywood itu, bulan depan.

‘Joker’ arahan Todd Phillips dan dibintangi Joaquin Phoenix, mendahului tiga filem pilihan lain.

Filem ‘Once Upon a Time... in Hollywood’ arahan Quentin Tarantino dianugerah filem terbaik. - Foto Reuters
Filem ‘Once Upon a Time... in Hollywood’ arahan Quentin Tarantino dianugerah filem terbaik. - Foto Reuters

Filem ‘Once Upon a Time... in Hollywood’ arahan Quentin Tarantino dengan latar belakang suasana 1960-an, naskhah ‘1917’ suasana Perang Dunia Pertama arahan Sam Mendes dan buah tangan Martin Scorsese ‘The Irishman’ masing-masing menerima 10 pencalonan, termasuk filem dan pengarah terbaik.

Satira dari Korea Selatan, ‘Parasite’ arahan Bong Joon-ho, melengkapkan pencalonan pengarah terbaik, sekali gus sekali lagi menyaksikan tiada pengarah wanita disenarai pendek.

Sebahagian besar fokus sekitar musim pencalonan kali ini berkisar kepada kurangnya pengarah wanita dan etnik minoriti yang disenaraikan.

Filem ‘Little Women’ iaitu adaptasi sentuhan Greta Gerwig tidak kelihatan dalam beberapa pencalonan anugerah, walaupun ia adalah satu daripada sembilan calon kategori filem terbaik Oscar.

Kontroversi sedemikian dalam industri yang kerap dikritik atas faktor kurangnya kepelbagaian, seperti mana berlaku dalam pencalonan Akademi Filem dan Televisyen Britain (BAFTA) minggu lalu yang dikecam kerana terlepas pandang calon golongan minoriti.

Kemuncak Oscar akan berlangsung di Hollywood pada 9 Februari ini. - AFP

Berita Harian X